
Kejayaan One of Them Days membuka peluang lebih besar buat Lawrence Lamont di Hollywood. Pengarah yang mencuri perhatian menerusi filem komedi lakonan Keke Palmer dan SZA itu kini diberikan tanggungjawab menerajui Last Friday, filem keempat francais komedi popular Friday yang bakal menyaksikan kepulangan Ice Cube.
Menurut laporan eksklusif The Hollywood Reporter, New Line Cinema telah memilih Lamont untuk mengarahkan filem tersebut, sekali gus menandakan projek terbaharu dalam francais berkenaan sejak Friday After Next ditayangkan pada 2002.
Ice Cube, yang merupakan pencipta bersama francais Friday, akan kembali membawakan watak Craig Jones. Beliau juga bertanggungjawab menulis skrip dan menerbitkan filem berkenaan bersama Bob Teitel serta Michael Gruber dari CubeVision. Jeff Kwatinetz pula terlibat sebagai penerbit eksekutif.
Pemilihan Lamont dilihat mempunyai kaitan dengan kejayaan One of Them Days, sebuah komedi yang turut mengetengahkan persahabatan sebagai teras penceritaannya, sama seperti francais Friday.
Diterbitkan dengan bajet sekitar AS$14 juta, filem tersebut berjaya meraih kutipan melebihi AS$51 juta di seluruh dunia. Prestasinya turut memberangsangkan di platform penstriman apabila menduduki tangga pertama Netflix selama empat minggu berturut-turut.
Pencapaian itu membolehkan Lamont menerima anugerah Breakthrough Director daripada African American Film Critics Association (AAFCA), selain memperoleh pencalonan NAACP Image Awards bagi kategori pengarahan filem.
Sebelum mencipta nama dalam industri perfileman, Lamont membina kerjayanya sebagai pengarah video muzik, khususnya menerusi kerjasama dengan penyanyi rap Big Sean. Beliau turut menghasilkan video muzik untuk beberapa nama besar industri hip-hop seperti J. Cole, Snoop Dogg, Nas dan Jhené Aiko.
Francais Friday pula mempunyai sejarah tersendiri dalam genre komedi Amerika. Filem pertamanya yang ditayangkan pada 1995 diarahkan oleh F. Gary Gray, dengan Ice Cube dan Chris Tucker masing-masing membawakan watak Craig Jones dan Smokey.
Berlatarbelakangkan kawasan kejiranan di South Central Los Angeles, filem tersebut mengisahkan dua sahabat yang menghabiskan masa bersama sambil berdepan pelbagai masalah, daripada konflik keluarga dan hubungan peribadi sehinggalah ancaman pengedar dadah.
Populariti filem pertama membawa kepada penghasilan dua sekuel, Next Friday (2000) dan Friday After Next (2002). Walaupun Ice Cube kekal sebagai watak utama dalam ketiga-tiga filem, Chris Tucker tidak kembali untuk dua sekuel tersebut.
Bagi Last Friday, penggambaran dirancang berlangsung di California Selatan selama 40 hari dengan penglibatan kira-kira 43 pelakon dan 150 kru produksi. Projek ini turut menerima insentif sebanyak AS$11.4 juta menerusi program galakan penerbitan filem negeri California.
New Line Cinema masih belum mendedahkan sinopsis rasmi, barisan pelakon tambahan mahupun tarikh tayangan Last Friday. Penglibatan semula Chris Tucker sebagai Smokey juga belum disahkan.
Sumber: The Hollywood Reporter
