
Selepas lebih tiga dekad meninggalkan francais Home Alone, Macaulay Culkin dilaporkan berpeluang kembali menghidupkan watak ikonik Kevin McCallister menerusi sebuah filem baharu.
Menurut laporan Puck yang dikongsikan dalam podcast The Town, Disney dikatakan sedang berusaha memujuk Culkin untuk kembali membintangi francais tersebut dengan menawarkan peluang menghasilkan projek impiannya sendiri sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Penganalisis industri hiburan, Matt Belloni, mendakwa Culkin turut mempunyai idea menarik untuk menghidupkan semula Home Alone dengan pendekatan yang berbeza daripada filem-filem terdahulu.
Belloni berkata individu yang pernah mendengar cadangan tersebut menyifatkannya sebagai idea yang sangat baik dan berpotensi mengembalikan kegemilangan francais itu untuk tempoh yang panjang.
Walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Disney mahupun Culkin, khabar angin ini sudah cukup membuatkan ramai peminat teruja.
Kali terakhir Culkin membawakan watak Kevin McCallister adalah menerusi Home Alone 2: Lost in New York pada tahun 1992. Sejak itu, francais tersebut diteruskan dengan beberapa sekuel dan reboot, namun kesemuanya tanpa penyertaan Culkin, selain gagal menandingi populariti dua filem asal.
Sekiranya projek ini menjadi kenyataan, ia dijangka tidak lagi mengulangi formula klasik mengenai seorang kanak-kanak yang mempertahankan rumahnya daripada pencuri.
Sebaliknya, ramai menjangkakan filem baharu itu akan menampilkan Kevin McCallister sebagai orang dewasa dengan jalan cerita yang lebih segar dan sesuai untuk generasi baharu, tanpa mengabaikan elemen nostalgia yang menjadikan siri ini begitu popular.
Dari sudut komersial, kepulangan Culkin juga dilihat mampu menarik semula peminat yang membesar dengan dua filem asal, sekali gus menjadikan projek ini antara taruhan terbesar Disney sekiranya ia benar-benar direalisasikan.
Sumber: ComingSoon
