Kakimuvee
Review Filem

Review Kudrat 1968: High Council – Adakah Anda Berpuas Hati Dengan Kudrat 1968?

Gambar pelakon Kudrat 1968: High Council

Sebelum ini, saya telah menerbitkan ulasan untuk empat episod siri Kudrat 1968: High Council yang ditayangkan di Netflix sepanjang September hingga awal Oktober lalu. Walaupun berkongsi satu jalan cerita yang sama, saya memilih untuk menghasilkan dua ulasan berasingan mengikut pendekatan Astro Shaw yang mempersembahkan karya ini dalam dua format berbeza, iaitu siri dan filem.

Satu ulasan memfokuskan kepada empat episod siri, manakala satu lagi menilai kesinambungan ceritanya dalam format filem. Bagi yang belum membaca ulasan siri Kudrat 1968: High Council, anda boleh membacanya di sini.

Versi filem Kudrat 1968: High Council menyambung kisah yang ditinggalkan dalam episod keempat, apabila Inspektor Boon menemui petunjuk baharu berhubung kes kematian Mazli. Dalam masa yang sama, para pelajar Kudrat kembali ke sekolah selepas diberikan cuti selama seminggu susulan insiden tersebut.

Namun, suasana di Kudrat tidak lagi seperti sebelumnya. Perebutan kuasa yang menjadi antara konflik utama dalam siri kini berubah menjadi kekosongan kepimpinan selepas Kuda meletakkan jawatan sebagai Ketua Pelajar. Sementara itu, Piji mula menyimpan dendam terhadap Pa selepas dia dan ibunya meninggalkan rumah keluarga Pa untuk tinggal bersama Abbas.

Penemuan bukti baharu turut mendorong Inspektor Boon membuka semula siasatan kematian Mazli dan menguatkuasakan perintah berkurung di Kudrat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Dengan kehadiran pihak polis, ketiadaan ketua yang memimpin para pelajar serta dendam Piji terhadap Pa yang semakin memuncak, Kudrat kini berdepan konflik baharu yang menjadi tunjang kepada penceritaan versi filem Kudrat 1968: High Council.

Daripada apa yang saya perhatikan, penceritaan versi filem seolah-olah kurang memberikan perhatian terhadap kesinambungan beberapa konflik yang telah dibina dalam versi siri. Sebaliknya, tumpuan lebih banyak diberikan kepada konflik baharu antara Piji dan Pa, serta siasatan Inspektor Boon terhadap kes kematian Mazli. Akibatnya, beberapa persoalan dan konflik yang dibangkitkan sepanjang empat episod terdahulu dibiarkan tergantung tanpa penyelesaian yang jelas.

Antara kelemahan paling ketara dalam versi filem, malah keseluruhan penceritaan Kudrat 1968, ialah cara konflik antara Kuda dan Abbas dikendalikan. Perseteruan yang dibina sepanjang empat episod siri, dengan ketegangan dan persaingan kuasa yang semakin memuncak, akhirnya diselesaikan dengan terlalu mudah tanpa memberikan kemuncak dramatik atau penyelesaian yang setimpal.

Artikel Berkaitan:  Review Siri Kudrat 1968: High Council – Berjaya Cetus Keterujaan Menjelang Finale

Pendekatan sebegini bukan sahaja melemahkan impak emosi, malah menjadikan perkembangan konflik yang dibina sejak episod pertama seolah-olah tidak membawa kepentingan besar kepada keseluruhan penceritaan. Pada pandangan saya, penyelesaian yang terlalu mudah terhadap konflik Kuda dan Abbas ini turut memberikan gambaran bahawa perseteruan mereka sengaja diketepikan bagi membuka lebih banyak ruang kepada kisah Piji dan Pa, seolah-olah menjadi jalan pintas untuk membangunkan naratif baharu dalam versi filem.

Bukan sekadar konflik mereka, watak Abbas dan Kuda sendiri juga semakin diketepikan, manakala Piji dan Pa mengambil alih peranan sebagai penggerak utama penceritaan. Saya sebenarnya agak terkejut melihat perkembangan karakter Piji yang sebelum ini digambarkan sebagai seorang yang pasif dan sering berada di bawah pengaruh Pa, sehinggalah dia berjaya membebaskan diri daripada cengkaman tersebut.

Pada pandangan saya, Piji memperlihatkan perubahan karakter paling signifikan sepanjang penceritaan Kudrat 1968. Terus terang saya katakan, perasaan saya berbelah bahagi melihat perubahan ini. Di satu sudut, saya suka melihat keberanian Piji untuk bangkit melawan individu yang selama ini menindasnya. Namun, pada masa yang sama, saya kurang senang melihat bagaimana wataknya berkembang menjadi seorang yang jauh lebih menakutkan berbanding watak-watak lain, termasuk Kuda dan Pa yang sebelum ini mendominasi konflik dalam siri ini.

Bagi saya, inilah antara kekuatan character arcPiji. Perkembangannya bukan sekadar memperlihatkan perubahan sikap, tetapi turut berjaya membangkitkan emosi penonton terhadap watak yang pada awalnya dilihat sebagai mangsa penindasan.

Walau bagaimanapun, dari sudut penceritaan, tidak banyak perkara menarik yang benar-benar membuatkan saya berasa kagum atau teruja. Saya bukanlah seorang yang gemar berteori atau terlalu mengharapkan plot twist. Saya cuma mahukan jalan cerita yang kuat, menarik dan mampu membuatkan saya merasai ketegangan yang berlaku di Kudrat, lebih-lebih lagi apabila konflik baharu mula tercetus.

Artikel Berkaitan:  Belum Ditayangkan, Kudrat 1968: High Council Catat RM3 Juta Jualan Tiket Awal

Namun, saya melihat perkembangan plot dalam versi filem ini kurang organik. Beberapa keputusan dan tindakan watak turut menimbulkan persoalan, seolah-olah sengaja diatur untuk mencetuskan konflik baharu demi menggerakkan naratif, bukannya berkembang secara semula jadi berdasarkan motivasi watak dan peristiwa yang berlaku sebelumnya.

Dari segi aksi, apa yang dipersembahkan dalam versi filem ini bagi saya sekadar memuaskan. Jika dibandingkan dengan babak-babak aksi yang ditampilkan dalam episod pertama dan kedua siri, saya dengan yakin akan meletakkan aksi dalam versi filem ini di kedudukan paling bawah.

Adegan pergaduhan beramai-ramai agak menarik, cuma situasi sebelum tercetusnya pergaduhan tersebut terasa sedikit aneh dan lucu. Bagaimanapun, perhatian saya lebih tertumpu kepada pertarungan antara Piji dan Pa, sama ada ketika pemilihan Kapla mahupun dalam pertarungan akhir filem.

Kelemahannya, pertarungan antara kedua-dua watak ini tidak mempunyai intensiti yang cukup tinggi, selain koreografinya yang kurang kemas jika dibandingkan dengan pertarungan antara Piji dan Cad ketika mereka menjadi ayam sabung kepada Kuda dan Pa. Begitu juga dengan pertarungan antara Abbas dan Kuda dalam episod kedua yang pada pandangan saya jauh lebih mendebarkan dan memberikan impak dramatik yang lebih kuat berbanding pertarungan akhir versi filem.

Saya juga menghargai kreativiti kerja kamera dalam adegan pertarungan Piji dan Pa di dewan makan, khususnya penggunaan bayang-bayang untuk memperlihatkan pergerakan kedua-dua watak ketika bertarung. Namun, walaupun pendekatan visual tersebut menarik, pelaksanaannya terasa sedikit janggal dan kurang kemas. Akibatnya, adegan yang sepatutnya menjadi antara momen visual paling menonjol dalam filem ini gagal memberikan impak dramatik yang cukup kuat dan tidak memorable.

Pujian harus diberikan kepada barisan pelakon Kudrat 1968: High Council, khususnya Akmal Asyraf yang berjaya menyerlahkan watak Piji dalam versi filem ini. Persembahannya cukup berkesan sehingga mampu membangkitkan reaksi emosi yang bercampur-baur dalam diri saya, seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini.

Penghargaan yang sama turut diberikan kepada Dai Fuad, Zarif Gazzi, Mierul Aiman, Chech Harith dan Evertts Gomes yang masing-masing memberikan persembahan lakonan yang meyakinkan. Cuma, saya sedikit terkilan dengan watak Ghafar lakonan Evertts Gomes yang masih tidak memperlihatkan perkembangan karakter yang ketara, meskipun penceritaannya telah memasuki versi filem.

Artikel Berkaitan:  Trailer Rasmi Kudrat 1968: High Council Dilancarkan, Episod Finale Bakal Ditayangkan Di Pawagam Pada 29 Oktober Ini

Jika dinilai secara keseluruhan, barisan pelakon ini sememangnya menjadi antara kekuatan terbesar Kudrat 1968, sama ada dalam format siri mahupun filem. Persembahan mereka bukan sahaja berjaya mencuri perhatian penonton, malah pada pandangan saya, lakonan merekalah yang banyak membantu menghidupkan penceritaan sehingga ke penghujung kisah.

Kekuatan persembahan mereka juga turut mengimbangi beberapa kelemahan yang terdapat dalam penulisan dan perkembangan cerita sepanjang siri serta filem ini.

Secara keseluruhannya, versi filem masih berjaya memberikan pengakhiran yang baik kepada kisah Kudrat 1968: High Council, walaupun tidak semua konflik yang dibina sepanjang siri menerima penyelesaian yang benar-benar memuaskan. Kelemahan dari segi penceritaan serta persembahan aksi yang kurang dramatik dan kemas turut menghalang filem ini daripada memberikan pengalaman menonton yang lebih memuaskan.

Adakah episod akhir ini benar-benar layak diangkat sebagai sebuah filem, atau lebih sesuai dikekalkan dalam format siri untuk tayangan di layar kecil? Saya serahkan kepada penonton untuk menilainya sendiri. Bagi saya, versi filem tidak menawarkan peningkatan yang begitu ketara berbanding versi siri, khususnya dari segi kekuatan penceritaan dan aksi.

Namun, persembahan hebat barisan pelakonnya masih menjadi tarikan utama yang membantu membawa kisah Kudrat 1968 hingga ke penghujungnya.

RATING: 3/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review God Skin: Idea Menarik, Tetapi Penceritaan Berterabur

Ammar

Review The Last House: Survival Thriller Yang Tidak Cukup Rangup & Terlebih Tepung.

Karim Khan

Review Bisikan Nafsu: Drama Ala Makjang Yang Absurd Tetapi Menghiburkan

Karim Khan

Review Insidious: Out of the Further – Seram Popcorn Yang Menghiburkan

Karim Khan

Review The Intern: Han So-hee & Choi Min-sik Jadikan Versi Korea Hampir Flawless

Karim Khan

Review The End of Oak Street: Filem Dinosaur Yang Menarik dan Segar

Karim Khan

Leave a Comment