
Bagaimana jika sebuah bungkusan misteri yang dihantar ke rumah anda sebenarnya mengandungi sumpahan yang boleh meragut nyawa? Itulah kisah yang akan diceritakan dalam sebuah filem seram bertajuk Paket Santet, yang bakal menemui penonton di pawagam Malaysia mulai 12 November 2026.
Diedarkan oleh GSC Movies, filem ini menggabungkan elemen seram supernatural dan misteri menerusi kisah sekumpulan pelajar universiti yang menjadi sasaran gangguan mistik selepas menerima bungkusan misteri tanpa mengetahui identiti pengirimnya.
Paket Santet mengisahkan tujuh pelajar universiti, iaitu Deva, Bella, Ale, Celia, Firza, Kiki dan Glen, yang menjalani kehidupan seperti biasa sehinggalah mereka menerima sebuah bungkusan misteri tanpa nama pengirim.
Tiada seorang pun daripada mereka pernah membuat pesanan atau mengetahui sebab bungkusan tersebut dihantar. Namun, rasa ingin tahu mendorong mereka untuk membukanya, tanpa menyedari bahawa tindakan itu bakal mengubah kehidupan mereka menjadi mimpi ngeri.
Sejak itu, satu demi satu kejadian mengerikan mula berlaku sehingga mengancam nyawa mereka. Dalam keadaan yang semakin meruncing, kumpulan sahabat tersebut terpaksa mencari jawapan tentang identiti individu yang menghantar bungkusan berkenaan serta motif sebenar di sebalik gangguan yang menimpa mereka.
Persoalannya, mampukah mereka membongkar misteri tersebut sebelum menjadi mangsa seterusnya?
Filem terbitan BASE Entertainment ini diarahkan oleh Dinna Jasanti, yang sebelum ini lebih dikenali menerusi karya bergenre drama dan kekeluargaan seperti Dua Hati Biru (2024) dan My Annoying Brother (2024).
Paket Santet juga merupakan filem seram pertama arahan beliau, sekali gus memperlihatkan percubaannya meneroka genre berbeza daripada karya-karya terdahulu.
Dari segi barisan pelakon, filem ini menampilkan Fatih Unru sebagai Deva, Yasamin Jasem sebagai Bella, Fadly Faisal sebagai Ale, Gabriella Ekaputri sebagai Celia, Fiki Naki sebagai Firza, Azela Putri sebagai Kiki dan Farandika sebagai Glen.
Dengan durasi 98 minit, Paket Santet dijadualkan tayangan di pawagam Malaysia pada 12 November ini.
Tonton Treler Rasmi Paket Santet Dibawah:

