
NEON akhirnya melancarkan trailer rasmi Her Private Hell, filem terbaharu arahan Nicolas Winding Refn yang terkenal dengan gaya visual unik dan penceritaan berani.
Trailer tersebut memaparkan gabungan elemen sci-fi, seram dan slasher dengan latar dunia futuristik yang diselubungi kabus toksik.
Filem ini mengisahkan seorang wanita muda lakonan Sophie Thatcher yang berusaha mencari bapanya yang hilang ketika satu entiti misteri mula mengganas di bandar.
Dalam masa sama, dia bertemu dengan seorang bekas anggota tentera Amerika lakonan Charles Melton yang sedang menjalankan misi menyelamatkan anak perempuannya.
Selain itu, kisah ini turut menampilkan seorang pembunuh bersiri dikenali sebagai Leather Man yang menyasarkan wanita di seluruh bandar, menjadikan keadaan semakin huru-hara.
Selain Sophie Thatcher dan Charles Melton, filem ini turut dibintangi Havana Rose Liu, Kristine Froseth, Diego Calva, Shioli Kutsuna dan Hidetoshi Nishijima.
Her Private Hell dijadualkan ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat pada 24 Julai 2026, bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada filem ini akan ditayangkan di Malaysia ataupun tidak.
Trailer rasminya kini sudah boleh ditonton dan memberi gambaran awal sebuah filem penuh misteri, aksi ganas serta visual neon yang memukau.

