
Filem aksi terbaharu Indonesia, Never Surrender, mencatat kejayaan membanggakan apabila menduduki tangga pertama carta Netflix Global Top 10 bagi kategori filem bukan berbahasa Inggeris.
Sejak mula ditayangkan pada 12 November lalu, filem arahan Sidharta Tata itu berjaya meraih 11 juta tontonan, sekali gus membuktikan sambutan luar biasa terhadap karya aksi dari Indonesia di peringkat antarabangsa.

Menurut Netflix, Never Surrender menduduki tempat pertama di 12 negara dan berjaya menembusi carta Top 10 di 83 negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Amerika Syarikat, Mexico, Brazil, Turki, Perancis, Jerman, Arab Saudi, Thailand, Jepun dan Korea Selatan.
Berlatarbelakangkan sebuah perkampungan kecil di Jawa Tengah, Indonesia, Never Surrender menggabungkan aksi pertarungan yang mendebarkan, strategi taktikal dan elemen kekeluargaan yang menjadi tunjang utama penceritaannya.
Filem ini mengisahkan seorang datuk yang berusaha menyatukan semula keluarganya selepas kehadiran dua orang cucunya secara tidak dijangka membawa mereka ke dalam situasi berbahaya. Demi melindungi insan tersayang daripada ancaman sindiket jenayah, lelaki tersebut terpaksa menggunakan kembali kemahiran tempur serta pengalaman silamnya sebagai anggota pasukan khas.
Pengarahnya, Sidharta Tata, menjelaskan bahawa beliau mahu menghasilkan sebuah filem aksi yang bukan sahaja menawarkan babak pertarungan menarik, malah turut menyentuh emosi penonton menerusi hubungan kekeluargaan.
Menurutnya, kerjasama dengan Netflix serta penerbit Kimo Stamboel dan Edwin Nazir membuka ruang untuk beliau meneroka pelbagai idea kreatif, termasuk merealisasikan impian yang sudah lama disimpan untuk menghasilkan sebuah babak kejar-mengejar kereta yang mendebarkan.
Sidharta turut meluahkan penghargaan kepada penonton di Malaysia dan seluruh dunia yang memberikan sambutan positif terhadap filem berkenaan. Sokongan tersebut, katanya, menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya yang berani, segar dan menghiburkan.
Never Surrender turut menandakan kerjasama pertama Sidharta Tata dengan Kimo Stamboel dan Edwin Nazir, dua penerbit yang sebelum ini terlibat dalam pembikinan filem Netflix The Elixir (2025).
Filem ini dibintangi barisan pelakon Indonesia termasuk Lukman Sardi, Callista Arum, Sulthan Hamonangan, Derby Romero dan Donny Alamsyah.
Dengan kejayaan menawan carta tontonan Netflix di pelbagai negara, Never Surrender sekali lagi memperlihatkan potensi filem Indonesia untuk menarik perhatian penonton antarabangsa, khususnya menerusi genre aksi yang semakin mendapat tempat di platform penstriman.
Never Surrender kini boleh distrim secara eksklusif di Netflix.
Sumber: Netflix
