
Astro kini menawarkan lebih fleksibiliti kepada rakyat Malaysia untuk menikmati kandungan hiburan dan sukan menerusi pelan Astro X3 tanpa kontrak, yang dilancarkan secara rasmi pada 27 November 2026.
Berbeza dengan perkhidmatan Astro konvensional, pelan baharu ini tidak memerlukan dekoder mahupun pemasangan. Pelanggan hanya perlu mendaftar secara dalam talian dan boleh terus menikmati pelbagai kandungan tempatan, antarabangsa serta siaran langsung tanpa terikat dengan komitmen jangka panjang.
Sempena pelancaran tersebut, Astro turut menawarkan harga promosi serendah RM39.99 sebulan untuk tiga bulan pertama. Pelanggan boleh memilih antara Entertainment Pack yang menawarkan lebih 70 saluran atau Sports Pack yang merangkumi lebih 85 saluran.
Harga Langganan Astro X3 Tanpa Kontrak
| Pelan Langganan | Harga Promosi | Harga Asal | Penjimatan Sebulan |
|---|---|---|---|
| Entertainment Pack | RM39.99 | RM59.99 | RM20 |
| Sports Pack | RM69.99 | RM109.99 | RM40 |
Harga promosi terpakai untuk tiga bulan pertama dan tidak termasuk SST.
Tai Kam Leong, Ketua Pegawai Komersial Astro, berkata pelancaran pelan tanpa kontrak ini merupakan sebahagian daripada komitmen Astro untuk menjadikan perkhidmatannya lebih fleksibel, mudah diakses dan bersesuaian dengan gaya hidup serta bajet pelanggan.
“Kami komited untuk menjadikan Astro lebih fleksibel dan mudah untuk diakses, sambil memberikan nilai yang lebih baik untuk semua. Hiburan seharusnya sesuai untuk semua gaya hidup dan juga bajet.
“Dengan Astro X3 (Tanpa Kontrak), kami menawarkan pelanggan lebih pilihan dan juga kebebasan untuk menikmati kandungan kegemaran mereka, mengikut keselesaan mereka,” katanya.
Pelbagai Pilihan Filem, Siri Televisyen Dan Siaran Langsung Sukan
Bagi peminat filem Hollywood, antara judul yang ditawarkan menerusi Astro X3 termasuk John Wick 2, Ambulance, Plane, 12 Strong, Twilight dan Jumanji: The Next Level. Pelanggan juga boleh menikmati siri popular seperti Citadel serta musim baharu Chicago P.D. dan Chicago Fire.
Untuk kandungan tempatan, Astro membawakan program seperti Suamiku Anak Mak dan Gegar Vaganza Fantasia, selain beberapa drama akan datang termasuk Simpan Saja Suamimu Itu, Keluarga Sharifah dan Anak Ikan Makcik Rosnah.
Peminat hiburan Korea pula boleh menikmati judul seperti Colony, Happy Anding dan Hometown Amor, manakala barisan kandungan Cina turut menampilkan WOLONG: The Mastermind, The Final Residence, Where The Mask Ends, The Ideal Lawyers serta filem Dear You.
Astro Vinmeen turut menawarkan pelbagai kandungan hiburan India termasuk Kadhal Unfollow, Viral Kudumbam dan Manaivi, sebuah adaptasi daripada drama Melayu popular Curang Tanpa Niat. Turut ditawarkan ialah Super Singer Season 12, Notebook 90’s – Kadhal Flashback Season 1 serta filem DC dan Dunki.
Sementara itu, menerusi Sports Pack, peminat sukan boleh mengikuti pelbagai kejohanan tempatan dan antarabangsa termasuk Sepak Takraw League (STL), Netball Super League (NSL), AFC Champions League Elite, AFC Champions League Two, Premier League, UEFA Champions League, Formula 1, MotoGP serta kejohanan badminton utama.
Strim Terus Tanpa Dekoder Dan Pemasangan
Astro X3 membolehkan pelanggan menikmati kandungan secara terus menerusi aplikasi Astro pada TV pintar, selain mengakses perkhidmatan tersebut melalui Astro GO menggunakan telefon pintar, tablet atau komputer riba.
Dengan pengenalan pelan tanpa kontrak ini, pelanggan kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk menikmati kandungan Astro tanpa perlu terikat dengan langganan jangka panjang.
Untuk maklumat lanjut atau pendaftaran, layari laman web rasmi Astro atau hubungi Astro menerusi WhatsApp dan talian 03-9543 3838.
