
Filem aksi tempatan, Chelot terus mencatat perkembangan positif di pawagam apabila berjaya mengutip RM14 juta selepas 14 hari tayangan, termasuk tempoh Tayangan Awal.
Pencapaian tersebut diumumkan menerusi media sosial rasmi filem berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada penonton Malaysia yang terus memberikan sokongan terhadap karya tempatan.
Lebih menarik, kutipan RM14 juta itu melepasi kos pembikinan Chelot yang dilaporkan sekitar RM10 juta. Perkara tersebut sebelum ini didedahkan oleh pengarahnya, Adrian Teh, yang menyifatkan filem berkenaan sebagai antara karya paling mencabar pernah dihasilkannya.
Chelot menampilkan Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar dan Alicia Amin dalam kisah aksi dan jenayah yang berlatarkan operasi membanteras sindiket penyeludupan senjata. Filem ini mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 27 Ogos 2026.
Selain jalan cerita dan aksi, Chelot turut mendapat perhatian menerusi babak aksi single take sepanjang 1.9 kilometer dengan durasi lima minit 19 saat yang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Dengan kutipan yang kini mencecah RM14 juta, perjalanan Chelot di pawagam masih diteruskan dan pencapaian seterusnya pastinya akan menjadi tumpuan dalam beberapa hari akan datang.

