
Disney+ bakal menampilkan sebuah lagi drama Korea baharu menerusi Between Steps, melodrama 12 episod yang mengetengahkan kisah cinta antara dua individu dengan latar kehidupan serta personaliti yang jauh berbeza.
Dibintangi Choo Youngwoo dan Kim Sohyun, Between Steps akan mula distrim di Disney+ pada 5 Oktober 2026, dengan episod baharu ditayangkan setiap Isnin dan Selasa.
Drama ini mengambil latar sebuah makmal robotik di universiti dan mengikuti kisah Park Minjae (Choo Youngwoo), seorang calon doktor falsafah yang pernah mempunyai impian untuk bergelar atlet renang profesional.
Namun, impiannya musnah selepas dia kehilangan sebelah kaki. Sejak kejadian tersebut, Minjae memilih untuk menjalani kehidupan yang lebih tertutup dan sukar membenarkan dirinya terlibat dalam hubungan romantik kerana dibelenggu ketakutan untuk terluka sekali lagi.
Segalanya mula berubah apabila Lim Youjin (Kim Sohyun) muncul sebagai pelajar baru daripada jurusan Tekstil dan Pakaian.
Berbeza sepenuhnya daripada Minjae, Youjin mempunyai personaliti yang lebih berani dan tidak takut untuk berterus-terang. Malah, dia dikenali sebagai seorang yang sering mencetuskan masalah sehingga dianggap sebagai pembawa masalah oleh orang di sekelilingnya.
Pertemuan pertama mereka juga tidak begitu menyenangkan. Dengan personaliti yang bertentangan, hubungan Minjae dan Youjin pada awalnya dipenuhi rasa janggal dan kekok.
Namun, semakin mereka mengenali antara satu sama lain, hubungan yang pada mulanya kelihatan mustahil itu perlahan-lahan berubah menjadi satu tarikan yang tidak dijangka.
Choo Youngwoo, yang sebelum ini dikenali menerusi Head over Heels dan The Trauma Code: Heroes on Call, memainkan watak Minjae, seorang calon doktor falsafah yang turut mengajar di makmal robotik universiti.
Sementara itu, Kim Sohyun yang pernah membintangi Love Alarm dan Good Boy membawa watak Youjin, seorang bekas pelajar jurusan Tekstil dan Pakaian yang terpaksa mencari hala tuju baharu selepas dihalang daripada menamatkan pengajiannya.
Between Steps diarahkan oleh Ahn Pansuk, pengarah yang pernah menghasilkan The White Tower, Secret Love Affair dan Heard It Through the Grapevine. Skripnya pula ditulis oleh Min Hyojung, yang sebelum ini terlibat dalam Attic Cat dan Full House.
Dengan gabungan kisah romantik, drama kehidupan serta dua watak utama yang mempunyai personaliti bertentangan, Between Steps dijangka menawarkan sebuah kisah cinta yang berkembang secara perlahan dalam keadaan yang tidak pernah dijangka oleh kedua-duanya.
Between Steps akan mula distrim pada 5 Oktober 2026 secara eksklusif di Disney+, dengan episod baharu hadir setiap Isnin dan Selasa.
Bagi peminat drama romantik Korea, Disney+ turut menawarkan beberapa judul lain seperti Red Swan, Soundtrack #1 dan Call It Love yang mengetengahkan kisah percintaan dengan konflik serta latar yang berbeza.
