
Netflix secara rasmi mengumumkan pembikinan siri live-action Korea yang diadaptasi daripada fenomena global Solo Leveling, dengan bintang popular Byeon Woo Seok disahkan akan memegang watak utama sebagai Sung Jin Woo.
Pengumuman yang dibuat pada 10 Julai itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai pelakon utama projek yang dinanti-nantikan peminat di seluruh dunia.
Solo Leveling pada asalnya diterbitkan sebagai novel web sebelum diadaptasi menjadi webtoon dan siri anime yang meraih populariti luar biasa di peringkat antarabangsa.
Siri tersebut mengikuti perjalanan Sung Jin Woo, seorang Hunter berpangkat E, iaitu ranking paling rendah dalam kalangan pemburu yang bertanggungjawab melindungi manusia daripada raksasa yang muncul melalui pintu misteri dikenali sebagai Gates.
Selepas terselamat daripada pengalaman hampir maut, Jin Woo memperoleh kuasa luar biasa yang membolehkannya terus menjadi semakin kuat, sekali gus muncul sebagai harapan baharu untuk menyelamatkan manusia.
Populariti francais ini turut diperkukuhkan menerusi adaptasi anime yang mencipta kejayaan besar apabila merangkul sembilan anugerah utama di Crunchyroll Anime Awards 2025, termasuk kategori Anime of the Year, Best Action dan Best Character.
Pemilihan Byeon Woo Seok sebagai watak utama dijangka menjadi antara tarikan terbesar siri ini. Pelakon yang melonjak ke status bintang global menerusi drama Lovely Runner itu bakal memperlihatkan transformasi dramatik Sung Jin Woo daripada Hunter paling lemah kepada individu paling berkuasa dalam dunia mereka, lengkap dengan babak aksi berskala besar.
Bagi memastikan adaptasi ini memenuhi jangkaan peminat, Netflix turut menggabungkan dua pengarah berpengalaman, Lee Hae Jun dan Kim Byung Seo.
Lee Hae Jun sebelum ini mengarahkan filem seperti Ashfall, Like a Virgin dan Castaway on the Moon, manakala Kim Byung Seo terkenal dengan sentuhan visual bergaya dan aksi mantap menerusi filem Cold Eyes. Gandingan kedua-duanya dijangka membawa nafas baharu kepada dunia Solo Leveling dalam versi live-action.
Dalam perkembangan berkaitan, media Korea turut melaporkan bahawa Rain dan Lee Sung Min sedang dipertimbangkan untuk menyertai barisan pelakon siri tersebut.

Bagaimanapun, agensi Rain menjelaskan bahawa pelakon itu masih meneliti tawaran yang diterima dan belum membuat sebarang keputusan. Setakat ini, agensi Lee Sung Min masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung laporan tersebut.
Menurut laporan, Rain ditawarkan watak Baek Yoon Ho, seorang Hunter berpangkat S yang juga ketua White Tiger Guild. Watak itu merupakan antara pemburu terkuat yang cuba merekrut Sung Jin Woo menyertai organisasinya.
Sementara itu, Lee Sung Min dilaporkan bakal membawakan watak Go Gun Hee, Pengerusi Hunter Association yang juga merupakan Hunter berpangkat S serta antara individu paling dihormati dalam dunia pemburu.
Sebelum ini, Han So Hee turut dilaporkan sedang berbincang untuk membintangi siri ini sebagai Cha Hae In, manakala Kang You Seok dikatakan menerima tawaran bagi watak Yoo Jin Ho. Pelakon Kang Mina juga sedang dalam peringkat rundingan untuk menyertai projek berprofil tinggi tersebut.
Dengan gabungan pelakon popular, pasukan produksi berpengalaman serta reputasi besar yang dimiliki francais Solo Leveling, adaptasi aksi nyata terbitan Netflix ini kini muncul sebagai antara drama Korea paling dinanti-nantikan oleh peminat di seluruh dunia.
Sumber: Soompi
