
Selepas bertahun-tahun hanya menjadi perbincangan, National Treasure 3 akhirnya semakin hampir untuk direalisasikan apabila pengarah Jon Turteltaub mengesahkan bahawa filem tersebut kini mempunyai skrip yang disukainya.
Turteltaub mendedahkan perkembangan itu ketika rakaman secara langsung podcast National Treasure Hunt di Philadelphia. Menurutnya, ini merupakan kali pertama beliau bercakap secara terbuka mengenai perkembangan filem ketiga tersebut.
“Ini akhirnya benar-benar berlaku,” kata Turteltaub kepada penonton.
Bagaimanapun, pengarah itu turut menjelaskan bahawa National Treasure 3 masih berada dalam apa yang beliau sifatkan sebagai tahap “Hollywood real”. Maksudnya, projek tersebut sudah cukup nyata untuk diteruskan, tetapi masih boleh berubah sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka.
Secara berseloroh, Turteltaub berkata sekiranya Nicolas Cage “dilanggar bas”, maka National Treasure 3 tidak akan berlaku. Jika perkara sama menimpanya pula, beliau bergurau bahawa filem tersebut mungkin masih diteruskan.
Turteltaub kemudian mendedahkan bahawa mereka akhirnya mempunyai skrip yang beliau sukai, malah Disney turut memberikan respons positif terhadap naskhah tersebut.
“Kami akhirnya mempunyai skrip yang saya suka,” katanya, sambil mendedahkan bahawa Disney memberikan respons, “Okey, ini nampaknya seperti filem yang boleh kami hasilkan.”
Disney bagaimanapun tidak memberikan komen ketika dihubungi The Hollywood Reporter mengenai perkembangan tersebut.
Nicolas Cage Akan Kembali?
Persoalan utama yang masih belum terjawab ialah sama ada Nicolas Cage akan kembali sebagai Benjamin Franklin Gates.
Cage memainkan watak pemburu harta karun dan ahli sejarah tersebut dalam dua filem terdahulu. National Treasure yang ditayangkan pada 2004 mengisahkan Ben Gates dalam usahanya mencari harta karun purba dengan mencuri Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat yang dipercayai menyimpan petunjuk penting.
Filem pertama turut menampilkan Harvey Keitel, Jon Voight, Diane Kruger, Sean Bean, Justin Bartha dan mendiang Christopher Plummer. Ia berjaya mengutip AS$347 juta di seluruh dunia.
Sekuelnya, National Treasure: The Book of Secrets, kemudian ditayangkan pada 2007. Filem tersebut sekali lagi menampilkan Cage sebagai Ben Gates dan memperkenalkan Helen Mirren, Ed Harris, Bruce Greenwood serta Ty Burrell ke dalam francais. Ia mencatat kutipan sekitar AS$459 juta di seluruh dunia.
Untuk filem ketiga, belum ada pengumuman mengenai barisan pelakon. Wakil Cage juga belum memberikan komen mengenai kemungkinan kepulangannya.
Francais Ini Pernah Diteruskan Menerusi Disney+
Sebelum National Treasure 3 kembali menjadi perhatian, Disney pernah mengembangkan francais tersebut menerusi siri National Treasure: Edge of History.
Siri Disney+ itu ditayangkan pada 2022 dan dibintangi Catherine Zeta-Jones, manakala Justin Bartha dan Harvey Keitel kembali mengulangi watak masing-masing daripada filem terdahulu.
Bagaimanapun, siri tersebut hanya bertahan selama satu musim sebelum dibatalkan.
Kini, masa depan francais itu kembali bergantung kepada filem ketiga. Dengan skrip yang sudah tersedia dan Disney dikatakan melihat potensi untuk menjadikannya sebuah filem, projek tersebut akhirnya mempunyai perkembangan yang lebih konkrit selepas bertahun-tahun berada dalam fasa pembangunan.
Namun, buat masa ini masih belum ada tarikh tayangan atau pengumuman barisan pelakon untuk National Treasure 3.
Sumber: The Hollywood Reporter
