Kakimuvee
AnimeBerita

Era HiAnime Berakhir, Tujuh Dalang Laman Penstriman Anime Haram Diberkas

HiAnime, yang sebelum ini dikenali sebagai antara laman penstriman anime cetak rompak terbesar di dunia, kini disahkan menamatkan operasinya sepenuhnya selepas tujuh individu yang dipercayai menjadi dalang di sebalik laman tersebut ditahan pihak berkuasa.

Perkembangan itu diumumkan oleh Alliance for Creativity and Entertainment (ACE), sebuah gabungan anti-cetak rompak yang disokong oleh Motion Picture Association (MPA), menerusi kenyataan rasmi di LinkedIn pada 2 Julai lalu.

Menurut ACE, tujuh individu terbabit telah ditahan hasil kerjasama rapat dengan Kementerian Keselamatan Awam Vietnam (MPS), khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Ekonomi (C03) dan Jabatan Keselamatan Siber serta Pencegahan Jenayah Teknologi Tinggi (A05).

Penahanan tersebut dibuat susulan siasatan berhubung aktiviti pelanggaran hak cipta yang melibatkan penyalinan dan pengedaran filem serta kandungan anime secara haram menerusi internet.

Sebelum ini, HiAnime mengejutkan ramai peminat apabila laman berkenaan tiba-tiba ditutup pada Mac lalu. Ketika itu, masih terdapat spekulasi bahawa platform tersebut mungkin akan kembali beroperasi sama ada menggunakan nama asal atau identiti baharu.

Namun begitu, beberapa bulan selepas penutupannya, HiAnime akhirnya mengesahkan bahawa semua operasinya telah dihentikan sepenuhnya, sekali gus menamatkan harapan sebahagian pengguna yang menantikan kepulangannya.

Dalam kenyataan sama, ACE turut merakamkan penghargaan kepada beberapa agensi penguat kuasa Amerika Syarikat termasuk U.S. Department of Homeland Security, Homeland Security Investigations (HSI) serta U.S. Department of Justice, yang membantu siasatan selama beberapa tahun sehingga membawa kepada penahanan tersebut.

Menurut ACE, tindakan itu membuktikan komitmen mereka untuk terus membanteras rangkaian penstriman haram di seluruh dunia demi melindungi hak cipta serta industri kreatif global.

Gelombang besar membanteras laman anime dan manga cetak rompak

Penutupan HiAnime bukanlah kes terpencil. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak laman penstriman anime dan pembacaan manga haram ditutup hasil kerjasama antara kerajaan pelbagai negara serta pemegang hak cipta dari Jepun.

Artikel Berkaitan:  Filem Ke-46 Doraemon Diumumkan, Bakal Tayang Musim Bunga 2027

Baru-baru ini, tiga laman manga haram yang terkenal iaitu Harimanga, Manhwaclan dan Kunmanga turut ditutup menerusi operasi bersama pihak berkuasa Korea Selatan dan Vietnam.

Ketiga-tiga laman tersebut dilaporkan telah berada dalam senarai pemantauan Naver Webtoon sejak tahun 2023 kerana didakwa mengedarkan kandungan tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

Industri anime semakin bernilai tinggi

Peningkatan operasi membanteras cetak rompak ini dilihat selari dengan perkembangan pesat industri anime di peringkat global.

Kini, anime bukan sahaja menjadi rebutan platform penstriman digital, malah semakin mendapat perhatian studio Hollywood yang giat menghasilkan adaptasi aksi nyata (live-action) daripada karya manga dan anime popular.

Dengan nilai pasaran yang terus meningkat serta permintaan penonton yang semakin tinggi di seluruh dunia, usaha melindungi harta intelek dijangka akan menjadi semakin agresif pada masa akan datang.

Penahanan pengendali HiAnime dilihat sebagai satu lagi isyarat jelas bahawa pihak berkuasa antarabangsa kini semakin serius dalam membanteras laman penstriman haram, sekali gus memberi amaran kepada platform lain yang masih beroperasi secara menyalahi undang-undang.

Sumber: CBR

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Kit Connor Dilapor Dipilih Sebagai Cyclops Dalam Reboot X-Men MCU

Karim Khan

Andy Muschietti Dedah Musim Kedua ‘It: Welcome to Derry’ Tampilkan Suasana Pekan Derry Paling Gelap

Karim Khan

Michelle Yeoh Jalani Latihan Seperti Pakar Bedah Sebenar Untuk Filem The Surgeon

Farah

Michael Catat Sejarah, Jadi Filem Biopik Pertama Raih Kutipan Lebih AS$1 Bilion Di Seluruh Dunia

Karim Khan

Papa Zola The Movie Umum Barisan Pelakon Suara Korea Selatan

Karim Khan

Netflix Sahkan JUJUTSU KAISEN Musim 3 Bakal Distrim Seluruh Dunia Bermula 22 Julai

Karim Khan

Leave a Comment