
Pelakon senior, Rosyam Nor menyifatkan kecaman yang diterima terhadap wataknya sebagai Firzan dalam drama Jiwa Seorang Pentaksub bukan sesuatu yang perlu dipandang negatif, sebaliknya sebagai petanda bahawa lakonannya berjaya memberi impak kepada penonton.
Memetik laporan Berita Harian, Rosyam berkata reaksi marah, jijik dan kurang selesa yang ditunjukkan penonton membuktikan mesej yang ingin disampaikan menerusi watak antagonis itu berjaya diterima.
Menurutnya, tugas seorang pelakon adalah menghidupkan sesuatu watak sehingga mampu membangkitkan emosi penonton, selain memberi kesedaran bahawa masih wujud individu yang gemar memanipulasi orang lain dengan janji manis.
Rosyam turut mengakui beliau tidak kisah menjadi sasaran kecaman kerana percaya setiap reaksi di media sosial membantu meningkatkan perhatian terhadap sesebuah karya. Malah, beliau berterima kasih kepada penonton yang terus memperkatakan drama tersebut sehingga ia menjadi tular.
Mengulas kontroversi membabitkan adegannya bersama Sophia AlBarakbah, Rosyam menjelaskan bahawa banyak persepsi timbul hasil kekuatan penceritaan dan imaginasi penonton, bukannya aksi yang benar-benar berlaku di hadapan kamera.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Jiwa Seorang Pentaksub telah melalui proses tapisan dan diklasifikasikan untuk tontonan penonton berusia 18 tahun ke atas, sekali gus menepis dakwaan bahawa drama itu tidak sesuai disiarkan di televisyen.
Rosyam turut mengakui beliau sendiri tidak membaca komen netizen kerana sibuk menguruskan pelbagai perniagaan. Baginya, kebencian penonton sebenarnya ditujukan kepada watak Firzan, bukannya dirinya sebagai pelakon, dan itulah ukuran sebenar kejayaan sesuatu karakter di layar.
Sumber: Berita Harian
