
Netflix kini giat membangunkan filem aksi nyata Gundam, adaptasi pertama berskala besar francais mecha ikonik dari Jepun. Filem itu akan diterajui oleh Sydney Sweeney dan Noah Centineo, dengan Jim Mickle (Sweet Tooth) bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip.
Dibangunkan bersama Legendary dan Bandai Namco Filmworks, studio di sebalik siri anime asal, filem ini bakal membawa kisah baharu yang boleh dinikmati peminat lama mahupun penonton yang baru mengenali dunia Gundam.
Kisah Baharu Berlatar Belakang Peperangan Angkasa
Berbeza dengan adaptasi terus daripada mana-mana siri anime, filem ini akan memaparkan cerita asal mengenai dua juruterbang mecha dari pihak yang bertentangan dalam peperangan antara Bumi dan bekas koloni angkasa.
Menurut sinopsis rasmi Netflix, kedua-dua watak itu akan terperangkap dalam konflik yang boleh menentukan nasib seluruh umat manusia. Jim Mickle turut menjelaskan bahawa walaupun filem ini menampilkan aksi berskala besar, fokus utamanya tetap kepada kisah kemanusiaan di sebalik peperangan.
Selain Mobile Suit ikonik dan kapal angkasa yang dikenali peminat, filem ini juga akan memperkenalkan beberapa rekaan baharu yang dicipta khas untuk versi aksi nyata.
Barisan Pelakon Dibintangi Nama Besar
Selain Sydney Sweeney dan Noah Centineo, filem ini turut dibarisi pelakon terkenal seperti Shioli Kutsuna, Jackson White, Jason Isaacs, Nonso Anozie, Michael Mando, Oleksandr Rudynskyi, Javon Walton, Ida Brooke dan Gemma Chua-Tran.
Netflix bagaimanapun masih belum mendedahkan nama watak yang bakal dibawakan oleh setiap pelakon.
Penggambaran Sudah Selesai
Penggambaran filem Gundam bermula pada April 2026 di Australia menggunakan tajuk produksi Teardrop. Lokasi penggambaran melibatkan Village Roadshow Studios di Gold Coast serta beberapa kawasan sekitar Brisbane dan Toowoomba.
Selepas hampir empat bulan menjalani penggambaran, produksi akhirnya selesai pada Julai 2026.
Setakat ini, Netflix masih belum mengumumkan tarikh tayangan rasmi, namun filem aksi nyata Gundam dijangka akan ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman itu pada tahun 2027.
Sementara itu, anda boleh melihat beberapa gambar belakang tabir dibawah:
Sumber: What's On Netflix
