
Netflix dan AMC Global Media secara rasmi mengumumkan kerjasama baharu menerusi perjanjian hak penstriman global selama lima tahun yang dianggarkan bernilai AS$500 juta (sekitar RM2.3 bilion), sekali gus menjadikan Netflix sebagai destinasi utama untuk keseluruhan francais The Walking Dead Universe.
Menerusi perjanjian ini, kesemua enam siri spin-off The Walking Dead akan mula ditawarkan di Netflix secara berperingkat bermula tahun hadapan. Pada masa sama, perjanjian itu turut bersifat co-exclusive, membolehkan platform AMC+ menyiarkan siri asal The Walking Dead buat pertama kali bermula 2027.
Sejak 2011, siri asal The Walking Dead telah tersedia di Netflix di beberapa negara. Namun, perjanjian baharu ini akan memperluaskan lagi penawarannya ke pasaran baharu termasuk United Kingdom, Itali, Australia dan New Zealand.
Secara keseluruhan, perjanjian tersebut merangkumi sebanyak 371 episod daripada pelbagai siri dalam francais ini, termasuk:
- The Walking Dead
- Fear the Walking Dead
- The Walking Dead: Daryl Dixon
- The Walking Dead: Dead City
- The Walking Dead: The Ones Who Live
- The Walking Dead: World Beyond
- Tales of The Walking Dead
Kesemua siri ini akan mula ditawarkan di Netflix mengikut jadual pelesenan di setiap wilayah sepanjang tahun hadapan.
Naib Presiden Pelesenan Netflix, Lori Conkling, berkata The Walking Dead terus menarik peminat baharu walaupun telah berada di platform itu selama hampir 15 tahun.
“Penonton telah menemui dan menyukai The Walking Dead di Netflix selama hampir 15 tahun, dan siri ini terus menarik peminat baharu. Kami teruja untuk bekerjasama dengan AMC Global Media bagi memperluaskan akses kepada lebih ramai penonton di seluruh dunia serta membawa keseluruhan The Walking Dead Universe ke Netflix.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AMC Global Media, Kristin Dolan, menyifatkan perjanjian tersebut sebagai satu langkah penting dalam memperkukuhkan lagi francais berkenaan.
Menurut beliau, kerjasama ini mewujudkan satu destinasi global yang menghimpunkan semua siri dan episod The Walking Dead, sekali gus memudahkan peminat menikmati keseluruhan francais di satu platform.
Beliau turut menyatakan bahawa Netflix memainkan peranan besar dalam menjadikan The Walking Dead antara francais televisyen paling berjaya dalam sejarah industri hiburan.
Pengumuman ini dibuat serentak dengan laporan kewangan suku tahunan AMC Global Media.
Syarikat itu merekodkan pendapatan bersih sebanyak AS$547 juta, iaitu penurunan 9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Walaupun keuntungan operasi turut merosot, AMC menaikkan unjuran prestasi kewangannya hasil perjanjian baharu bersama Netflix serta beberapa kerjasama pengedaran lain termasuk YouTube dan Comcast.
AMC turut memaklumkan bahawa perniagaan penstriman kini menyumbang lebih satu pertiga daripada pendapatan domestiknya, dengan platform seperti AMC+, Acorn TV dan Shudder terus mencatatkan peningkatan hasil.
