
Paramount Pictures telah melancarkan trailer rasmi terbaharu Heart of the Beast, filem thriller survival arahan David Ayer, pengarah Suicide Squad dan Fury, yang menampilkan Brad Pitt bersama seekor anjing tempur bernama Odin.
Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 25 September 2026.
Dalam Heart of the Beast, Pitt memainkan watak James Belmont, seorang anggota Special Forces yang terlibat dalam nahas pesawat ketika menjalankan misi.
James bersama anjing tempurnya, Odin, kemudiannya terkandas jauh di kawasan hutan belantara Alaska yang luas dan berbahaya.
Tanpa bantuan serta terputus daripada dunia luar, kedua-duanya terpaksa bergantung antara satu sama lain untuk terus hidup ketika berdepan cuaca ekstrem, keadaan persekitaran yang ganas dan pelbagai ancaman di kawasan tersebut.
Lebih daripada sekadar filem survival, Heart of the Beast turut memberi tumpuan kepada hubungan erat antara James dan Odin ketika mereka berdepan cabaran paling sukar dalam hidup mereka.
Filem ini digambarkan sebagai sebuah thriller pengembaraan intensif yang mengetengahkan ikatan luar biasa antara seorang manusia dengan sahabat baiknya, sambil menguji sejauh mana mereka sanggup berjuang untuk terus hidup.
Selain Brad Pitt, Heart of the Beast turut dibintangi J.K. Simmons (Whiplash) dan Anna Lambe (True Detective: Night Country).
Skrip filem ini ditulis oleh Cameron Alexander, manakala pemenang Oscar, Mauro Fiore yang pernah terlibat dalam Avatar dan Spider-Man: No Way Home, bertindak sebagai pengarah fotografi.
Menariknya, bagi peminat yang mungkin sudah mula risau tentang nasib Odin sepanjang filem ini, David Ayer mempunyai satu jaminan ringkas:
“Jangan risau, anjing itu hidup.”
Dengan gabungan Brad Pitt, David Ayer, aksi survival dan seekor anjing tempur yang bakal menjadi sebahagian penting dalam cerita, Heart of the Beast sememangnya antara filem thriller yang menarik untuk diberi perhatian pada September nanti.
