
Pelakon Hollywood, Nicolas Cage mendedahkan bahawa dia enggan menandatangani dokumen persetujuan yang membenarkan Amazon menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) semasa bekerja untuk siri Prime Video, Spider-Noir.
Ketika menghadiri New York Comic Con baru-baru ini, pelakon berusia 62 tahun itu secara terbuka mengkritik pelaburan besar Amazon dalam teknologi AI, selain menyuarakan kebimbangannya terhadap masa depan kerjaya lakonan apabila teknologi tersebut semakin berkembang dalam industri hiburan.
Menurut laporan Variety (via PetaPixel), Cage mendakwa Amazon merupakan sebuah syarikat yang sangat menyokong penggunaan AI, termasuk pelaburan bernilai AS$50 bilion dalam OpenAI.
Bagaimanapun, pendirian Cage terhadap teknologi tersebut ternyata berbeza.
"Saya bukan pelakon yang menyokong AI. Jadi, anda boleh faham sendiri pendirian saya. Saya bukan sebahagian daripada kelompok mereka. Saya tidak menandatangani dokumen persetujuan untuk membenarkan penggunaan AI dalam Spider-Noir.
"Saya mungkin tidak akan bekerjasama lagi dengan studio itu selepas ini, tetapi saya tidak kisah," katanya.
Cage turut mengakui bahawa dia masih mencari cara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pesat industri perfileman, khususnya apabila teknologi baharu semakin mempengaruhi proses penghasilan sesebuah karya.
Menurutnya, perkembangan teknologi yang terlalu pantas menimbulkan persoalan tentang bagaimana seseorang pelakon dapat terus kekal relevan dalam industri.
"Saya sedang cuba mencari cara untuk terus bertahan sebagai pelakon filem dalam dunia yang sangat berbeza, dengan maklumat yang berkembang begitu pantas.
"Bagaimana kita mahu terus kekal relevan apabila semuanya berubah dengan begitu cepat? Saya sendiri masih mencari jawapannya," jelas Cage.
Isu penggunaan AI dalam industri hiburan Hollywood sememangnya menjadi perdebatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama berkaitan hak pelakon terhadap wajah, suara dan persembahan mereka.
Kesatuan industri seperti SAG-AFTRA dan Writers Guild of America (WGA) sebelum ini telah merundingkan perlindungan kontrak bagi menangani penggunaan teknologi tersebut.
Cage bukan satu-satunya pelakon Hollywood yang menyuarakan kebimbangan mengenai AI.
Pada 2023, Keanu Reeves pernah mendedahkan bahawa setiap kontrak filemnya mempunyai klausa yang melarang studio mengubah persembahannya secara digital tanpa kebenaran.
Reeves berpendapat bahawa penggunaan teknologi seperti deepfake boleh menyebabkan pelakon kehilangan kawalan terhadap persembahan mereka sendiri.
Perdebatan mengenai AI turut mendapat perhatian susulan penggunaan teknologi digital untuk menghasilkan semula penampilan pelakon yang telah meninggal dunia, termasuk Ian Holm dalam Alien: Romulus dan Val Kilmer dalam sebuah projek filem.
Dalam perkembangan berkaitan, Cage turut memuji pengarah muda Kane Parsons yang mengarahkan filem Backrooms kerana memilih untuk tidak menggunakan AI generatif dalam penghasilan karyanya.
Parsons sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa teknologi tersebut boleh membawa kesan negatif terhadap industri kreatif.
