
Netflix Malaysia menambah dua karya tempatan dalam katalog minggu ini menerusi Kisah Bawah Tanah dan Polong, masing-masing membawa pendekatan berbeza kepada genre seram.
Kisah Bawah Tanah mula tersedia di Netflix pada 16 September, manakala Polong akan menyusul pada 17 September 2026.
Kehadiran kedua-dua judul ini turut memberi peluang kepada penonton yang terlepas tayangan asalnya untuk menyaksikan karya tempatan berkenaan menerusi platform penstriman.
Kisah Bawah Tanah

Kisah Bawah Tanah merupakan siri animasi seram komedi yang mengangkat cerita rakyat dan makhluk ghaib dari Malaysia serta Asia Tenggara.
Siri ini mengisahkan Sam dan Zack, dua jerangkung remaja yang menjalani kehidupan dalam dunia paranormal. Kedua-duanya bekerja di sebuah kedai runcit milik Tok Mart, seekor zombi yang terkenal dengan sikap tegas, sambil terheret dalam pelbagai kejadian pelik dan pengembaraan yang melibatkan makhluk ghaib. Netflix menyifatkan siri ini sebagai animasi dewasa yang menggabungkan elemen seram, komedi dan kisah paranormal.
Diarahkan oleh ahLoong dan dicipta oleh Hendra Wardi bersama Arzuan 'Alet' Anuar, Kisah Bawah Tanah dihasilkan menerusi kerjasama Animasia Studio dan Spaceboy Studios, dengan penglibatan Komet Production, Hot Drop Films serta InnerVoices Productions.
Barisan pelakon suara terdiri daripada Firdaus Sufiyan, Azman Zulkiply, Bront Palarae, Mia Sara Shauki, Ramona Rahman, Megat Zahrin, Ezza Afiqa dan Natasha Hidayah Hashim. Firdaus menyuarakan watak Sam, manakala Azman membawa watak Zack.
Kisah Bawah Tanah mempunyai 26 episod dengan durasi sekitar 12 minit setiap episod.
Polong

Sementara itu, Polong merupakan filem seram thriller arahan Zulkarnain Azhar yang sebelum ini mencatat sambutan memberangsangkan ketika ditayangkan di pawagam pada 28 Mei 2026.
Filem terbitan Golden Star Pictures Sdn. Bhd. ini mengisahkan Fatima (Mimi Lana), seorang wartawan yang cuba menyiasat kisah silam Maria Hadi (Jun Lojong), seorang bomoh yang mempunyai kaitan dengan ilmu hitam dan sejarah pembunuhan.
Siasatan Fatima membawa kepada rahsia gelap yang ditinggalkan Maria, termasuk entiti polong yang pernah dipelihara dan dikawal olehnya. Apabila ikatan tersebut terganggu, ancaman itu kembali menghantui mereka yang mempunyai kaitan dengan warisan gelap tersebut.
Selain Mimi Lana dan Jun Lojong, filem ini turut dibintangi Fad Anuar, Namron, Nadiya Nisaa, Amir Nafis dan Riezman Khuzaimi.
Polong telah merekodkan kutipan RM14.98 juta sepanjang tayangan di pawagam berdasarkan data FINAS, sekali gus menjadikannya antara filem tempatan dengan kutipan tertinggi bagi tahun 2026 setakat data yang dipaparkan.
Kini, selepas kejayaannya di pawagam, Polong akan tersedia untuk penonton Netflix bermula 17 September 2026.
Dengan kedua-dua judul ini kini berada dalam katalog Netflix, penonton mempunyai pilihan untuk menikmati seram tempatan dalam dua bentuk berbeza, daripada animasi komedi Kisah Bawah Tanah kepada seram thriller Polong.
