
Selepas mencuri perhatian menerusi beberapa naskhah popular, Bae Suzy kini disahkan bakal kembali ke Netflix menerusi drama bersiri fantasi sejarah romantik terbaharu berjudul Men of the Harem, yang dijangka ditayangkan pada tahun 2027.
Drama ini merupakan adaptasi daripada novel web popular karya Alpha Tart dan diarahkan oleh Lee Eung Bok, yang sebelum ini terkenal dengan siri Sweet Home. Penerbitan pula dikendalikan oleh Studio Dragon.
Dalam siri ini, Suzy membawakan watak Latil, seorang wanita yang terpaksa mengambil alih tampuk pemerintahan selepas bapanya dibunuh secara misteri. Demi mempertahankan kedaulatan kerajaan Tarium, Latil sepatutnya memilih seorang suami diraja. Namun, dia membuat keputusan luar biasa apabila memilih lima lelaki daripada latar belakang berbeza untuk menjadi pasangan dirajanya.
Selain perlu mengimbangi kehidupan bersama lima Royal Consorts, Latil turut berusaha membongkar dalang di sebalik pembunuhan bapanya sambil memastikan keamanan kerajaan terus terpelihara.

Barisan pelakon utama turut dibintangi oleh Lee Soo Hyuk, Yoo Jung Hoo, Shin Seung Ho dan Kim Dan. Sementara itu, Lee Gyu Hyun dan Noh Min Woo akan muncul sebagai pelakon pembantu, manakala Ji Chang Wook dijadualkan membuat penampilan khas (cameo).
Men of the Harem dijangka mempunyai 16 episod, dengan dua episod disiarkan setiap hujung minggu di saluran tvN sebelum tersedia di Netflix pada hari yang sama. Setiap episod dianggarkan berdurasi sekitar 60 minit.
Penggambaran drama ini telah bermula sejak pertengahan Mei 2026 dan turut menjalani sesi penggambaran di beberapa lokasi, termasuk di Kazakhstan. Dengan gabungan elemen fantasi, politik, misteri dan percintaan, Men of the Harem dilihat berpotensi menjadi antara drama Korea paling dinantikan pada tahun 2027.
