
Menjelang tayangan filem terbaharu Evil Dead Burn pada Julai ini, peminat francais seram ikonik Evil Deadberpeluang mengimbau kembali perjalanan siri tersebut apabila kesemua lima filem terdahulu bakal distrim di HBO Max bermula 1 Julai.
Menurut laporan Dread Central, koleksi yang akan ditawarkan merangkumi
- The Evil Dead (1981),
- Evil Dead II,
- Army of Darkness,
- Evil Dead (2013)
- Evil Dead Rise.
Filem asal arahan Sam Raimi, The Evil Dead, dianggap sebagai antara karya paling berpengaruh dalam sejarah filem seram. Ia turut memperkenalkan penonton kepada Necronomicon dan makhluk Deadites, selain melahirkan watak ikonik Ashley J. “Ash” Williams lakonan Bruce Campbell.
Campbell kembali menghidupkan watak Ash dalam dua sekuelnya, Evil Dead II dan Army of Darkness, yang menggabungkan elemen seram dan komedi dengan gaya unik sehingga menjadikan watak itu antara hero paling dikenali dalam genre seram.
Turut melengkapkan koleksi tersebut ialah Evil Dead (2013) arahan Fede Álvarez, yang memperkenalkan kisah baharu tetapi masih berkongsi kesinambungan dengan trilogi asal, serta Evil Dead Rise arahan Lee Cronin, yang membuktikan francais itu masih mampu mengekalkan identitinya walaupun meninggalkan latar kabin terpencil yang sinonim dengan siri berkenaan.
Lebih empat dekad selepas kemunculan filem pertama, Evil Dead terus dianggap sebagai antara francais seram paling konsisten, dengan setiap filem menawarkan identiti tersendiri sama ada seram psikologi, komedi gelap mahupun keganasan berdarah yang menjadi tanda dagang siri tersebut.
Bagi peminat yang bercadang menyaksikan Evil Dead Burn di pawagam bermula 9 Julai, penstriman kesemua lima filem ini di HBO Max pastinya menjadi peluang terbaik untuk mengadakan maraton sebelum babak baharu francais itu bermula.
