
Chris Evans akhirnya berkongsi sebab utama mengapa dia bersetuju untuk kembali membawa watak Steve Rogers dalam Avengers: Doomsday.
Menurut pelakon tersebut, keputusan itu bukanlah sesuatu yang sukar kerana dia masih mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan watak Captain America yang dilakonkannya sejak kemunculan pertama dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).
Dalam satu sesi panel di Fan Expo Boston (via Gamersradar), Evans menjelaskan bahawa dia berasa sangat selesa dengan watak Steve Rogers dan masih mengambil berat tentang perjalanan karakter tersebut.
“Saya berasa sangat dekat dengan watak ini. Saya bukan sahaja selesa membawanya, tetapi saya juga sangat menghargai watak ini,” kata Evans.
Dia turut menegaskan bahawa kepulangannya sebagai Steve Rogers bukan dibuat tanpa alasan. Menurutnya, pasti ada sesuatu yang menarik dalam jalan cerita Avengers: Doomsday sehingga membuatkan dia mahu kembali.
Evans dijangka muncul dalam Avengers: Doomsday dan turut mempunyai peranan dalam filem seterusnya, Avengers: Secret Wars.
Kepulangan Steve Rogers sememangnya menimbulkan banyak persoalan selepas watak tersebut diberikan pengakhiran yang cukup lengkap dalam Avengers: Endgame.
Dalam filem berkenaan, Steve memilih untuk kembali ke masa lalu dan menjalani kehidupan bersama Peggy Carter. Dia kemudiannya muncul sebagai seorang lelaki tua untuk menyerahkan perisai Captain America kepada Sam Wilson.
Namun, Avengers: Doomsday memperlihatkan bahawa kisah Steve Rogers mungkin masih belum berakhir.
Teaser pertama filem tersebut menunjukkan Steve sedang mendukung seorang bayi yang dipercayai merupakan anaknya bersama Peggy. Teaser berikutnya pula memperlihatkan Steve mengangkat Mjolnir dengan mudah, sekali gus mengejutkan Thor.
Persoalan terbesar ketika ini ialah bagaimana Steve boleh kembali ke Earth-616 selepas memilih untuk menetap pada masa lalu.
Antara petunjuk yang diberikan dalam bahan promosi terbaru ialah kemunculan kad milik Time Variance Authority (TVA) yang dikaitkan dengan Loki. Steve dilihat memegang kad tersebut dalam trailer terbaru, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan mengenai bagaimana kepulangannya berkait dengan perjalanan merentas masa dan realiti dalam MCU.
Sebelum ini, Evans juga pernah memberikan sedikit bayangan mengenai apa yang bakal berlaku kepada Steve Rogers dalam filem tersebut.
Menurutnya, pengarah Joe dan Anthony Russo sememangnya gemar meletakkan Steve dalam situasi sukar. Evans menyifatkan kedua-dua pengarah itu sebagai individu yang suka “menghentam” wataknya kerana bagi mereka, seorang wira perlu terus bangkit walaupun berulang kali menerima pukulan.
Dengan Steve Rogers kembali ke tengah-tengah konflik baharu, persoalan utama bukan lagi sekadar bagaimana dia boleh kembali, tetapi apakah peranan sebenar Captain America versi Evans dalam perang besar yang bakal berlaku.
Avengers: Doomsday dijadualkan ditayangkan pada 18 Disember ini.
