
Saya telah melihat poster, gambar-gambar di sebalik tabir, gambar-gambar promosi, dan sudah tentunya teaser, trailer rasmi serta video klip promosi. Apa yang boleh saya harapkan daripada semua bahan promosi Evil Dead Burnadalah filem arahan Sébastien Vaniček itu mampu memberikan sebuah karya yang 'brutal', 'gore' dan menakutkan, setanding dengan apa yang mereka war-warkan kepada penonton.
Manakan tidak, ansuran terbaru francais Evil Dead ini digembar-gemburkan sebagai naskhah paling mengerikan dalam sejarah francais tersebut. Bukan itu sahaja, melihat gambar-gambar serta video di sebalik tabir yang memperlihatkan setiap adegan ngeri dihasilkan menggunakan kesan praktikal, sudah tentu ia meletakkan jangkaan yang tinggi kepada saya bahawa filem ini bakal menyajikan visual yang serealistik mungkin, kejam dan cukup mengerikan sehingga mampu membuatkan kita sebagai penonton berasa loya.
AMARAN SPOILER!!!

Walaupun berada dalam francais yang sama, Evil Dead Burn sebenarnya merupakan sebuah filem yang mampu berdiri sendiri tanpa bergantung pada filem-filem terdahulu, khusus filem Evil Dead Rise.Bagi mereka yang tidak pernah menonton mana-mana filemdalam francais Evil Dead,ia tidak menjadi satu masalah kerana anda, secara dasarnya, masih memahami tentang apa yang berlaku sepanjang perjalanan filem ini.
Cuma, pengalaman menonton Evil Dead Burn akan terasa lebih memuaskan jika anda terlebih dahulu mengikuti filem-filem sebelumnya. Banyak petunjuk halus yang ditaburkan dalam plot hanya akan benar-benar bermakna apabila anda berjaya menyambungkan setiap cebisan misteri yang diceritakan dalam filem ini, terutamanya berkaitan kemunculan entiti jahat pada babak awal serta sebab keluarga ini menjadi sasaran utama Iblis 'Kandarian.'
Entri kali ini dilihat lebih memberi kepuasan berganda kepada peminat filem seram, khususnya kepada mereka yang lebih menggemari pendekatan seram secara tradisional, iaitu seram yang menakutkan, dan disusuli dengan adegan jumpscare serta momen-momen ngeri yang kejam dan memualkan.

Dari segi paparan gore, Sébastien Vaniček dilihat seolah-olah membawa penonton kembali ke era filem klasik Evil Deadyang penuh berdarah dan gila. Kali ini, legasi Ash melawan Deadites diteruskan dengan watak baharu, iaitu Alice, wanita Perancis yang terpaksa mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan dirinya dari cengkaman entiti jahat yang sedang menggila dan merasuk keluarga mertuanya.
Apa yang lebih menarik, sebaik sahaja penonton diberi ruang untuk menarik nafas selepas babak pembukaan yang cukup mengerikan, pengarah terus menggandakan tekanan dengan menyajikan adegan-adegan ganas secara bertalu-talu, seolah-olah enggan memberi peluang kepada penonton untuk berasa selesa.
Sehingga ke satu tahap, apa yang pada mulanya terasa seperti sebuah filem seram tiba-tiba berubah menjadi filem aksi. Pertembungan antara manusia dan Deadites berlangsung tanpa henti, seolah-olah menyaksikan pasukan Avengers bertarung dengan Thanos.

Dalam sekelip mata, suasana yang pada awalnya menggerunkan bertukar menjadi hiburan popcorn yang mungkin membuatkan anda tergelak. Namun, pada masa yang sama, tekak yang sebelum ini menikmati kemanisan popcorn itu mula terasa loya apabila menyaksikan percikan darah memancut daripada anggota badan, disusuli bunyi tubuh manusia dihempas ke dinding oleh Deadites yang kedengaran begitu mengerikan. Itu belum mengambil kira Deadites memotong, mengelar dan menghancurkan anggota badannya sendiri, sekaligus menggandakan tahap loya tekak penonton.
Walaupun filem ini cukup bercita-cita tinggi dalam menyajikan adegan-adegan gore yang melampau, kelemahan paling ketara terletak pada aspek penceritaannya.
Dianggap sebagai sebuah filem standalone, Evil Dead Burn tidak memperkenalkan kitab sumpahan yang baharu, serta tidak terlalu bergantung pada mitologi kitab-kitab terkutuk yang pernah diperkenalkan dalam filem-filem terdahulu. Sebaliknya, filem ini mengimbas kembali sejarah sekumpulan individu yang pernah menyedari ancaman syaitan yang berpunca daripada kitab-kitab Necronomicon serta usaha mereka untuk menghentikan sumpahan tersebut.
Namun, kisah lampau tersebut sekadar menjadi latar tanpa benar-benar dimanfaatkan untuk mengukuhkan penceritaan pada masa sekarang. Walaupun Deadites menjelaskan mengapa keluarga mertua Alice menjadi sasaran, filem ini lebih memberi tumpuan kepada pertarungan mereka untuk terus hidup daripada meneroka usaha menghentikan sumpahan dan menghantar entiti itu kembali ke neraka.

Cerita Evil Dead Burn ini tertumpu pada watak protagonis Alice lakonan Souheila Yacoub yang mencari ketenangan di rumah keluarga mertuanya selepas kematian suami. Tanpa disedari, syaitan telah meresapi jiwa keluarga mertuanya, mengubah seorang demi seorang menjadi Deadites, sekali gus menjadikan malam itu pengalaman paling menakutkan yang pernah dihadapi sepanjang hidupnya.
Bagi penonton yang menggemari filem seram tradisional tanpa perlu memikirkan penceritaan yang kompleks, Evil Dead Burn ialah pilihan yang tidak mengecewakan. Filem ini masih mengekalkan DNA klasik francais Evil Deaddengan menyajikan adegan seram yang ngeri, berdarah dengan lagak proantagonis yang berani mencabar Deadites.
Namun, untuk mengatakan ia sebuah filem seram yang unik dan boleh menjadi 'cult classic' masih agak jauh kerana jelas, Evil Dead Burnlebih kepada ingin melayan kehendak peminat filem seram, khususnya peminat francais Evil Dead.
VERDICT

3.5/5
Walaupun tidak memberikan pembaharuan besar kepada francais, Evil Dead Burn masih berjaya menghidangkan pengalaman seram yang ganas dan ngeri kepada penonton. Apa yang disajikan dalam entri kali ini benar-benar mampu memberikan kepuasan kepada penonton yang menghargai genre seram tradisional.
Namun, bagi mereka yang mementingkan kesinambungan francais dan penceritaan, entri kali ini mungkin akan memberikan sedikit kekecewaan. Walau bagaimanapun, kekurangan tersebut berjaya diimbangi dengan adegan seram tanpa henti yang dipersembahkan oleh pengarah Sébastien Vaniček.
