Kakimuvee
Review Filem

Review Orang Perang: Potensi Besar Senoi Praaq Yang Gagal Dimanfaatkan

Banyak filem menarik yang mula ditayangkan pada minggu pertama Oktober ini, dan sudah tentunya persaingan di pawagam semakin sengit. Filem-filem tempatan bukan sahaja perlu bersaing sesama sendiri, malah turut berdepan beberapa judul Hollywood dan antarabangsa yang tidak kurang hebatnya.

Jadi, saya terpaksa menentukan filem mana yang perlu ditonton terlebih dahulu, terutama bagi mengelakkan ia hilang daripada jadual tayangan lebih awal akibat kekurangan penonton.

Di antara dua filem tempatan baharu, iaitu Orang Perang dan Bisikan Nafsu, saya memilih filem bertemakan perang terlebih dahulu kerana ia mengetengahkan salah satu genre kegemaran saya.

Di atas kertas, Orang Perang mempunyai potensi besar untuk mendapat sambutan penonton. Filem ini bukan sahaja mengangkat kisah salah satu pasukan keselamatan elit negara, Senoi Praaq, malah turut membawa semangat patriotik menerusi perjuangan anak bangsa dalam mempertahankan negara.

Filem ini mengisahkan sekumpulan anak muda daripada masyarakat Orang Asli yang berpaling tadah daripada Parti Komunis Malaya sebelum menyertai pasukan keselamatan negara untuk memerangi pengganas komunis pada awal era insurgensi. Mereka inilah yang kemudiannya menjadi perintis kepada pasukan elit yang dikenali sebagai Senoi Praaq - “The Silent Killers”.

15 minit pertama Orang Perang boleh dikatakan agak intense kerana filem ini terus membawa penonton menyaksikan kekejaman pengganas komunis terhadap masyarakat Orang Asli.

Melihat bagaimana pengarah Hashim Rejab menggambarkan babak-babak tersebut, saya merasakan keputusan untuk mengekalkan klasifikasi 18 bagi filem ini sememangnya tepat kerana kekejaman yang dipaparkan ada kalanya tidak terjangkau dek akal.

Pada permulaan cerita, kita dapat melihat bagaimana watak antagonis dalam filem ini langsung tidak teragak-agak untuk membunuh orang awam, termasuk kanak-kanak. Malah, terdapat satu adegan yang memaparkan visual yang boleh dikatakan agak gore.

Pengenalan sebegini membuatkan saya meletakkan jangkaan bahawa Orang Perang akan membawa nada yang lebih keras, dengan paparan mengerikan yang menggambarkan kekejaman komunis seperti yang ditunjukkan pada awal filem.

Namun, apabila cerita mula bergerak ke hadapan, saya mula menyedari bahawa penceritaan dan skripnya semakin tidak konsisten. Dialog yang keluar daripada watak-wataknya juga semakin lama semakin cringe. Sampai satu tahap, saya terasa seperti mahu menonton filem ini semula sambil membawa counter untuk mengira berapa kali perkataan “komunis” disebut oleh setiap watak dalam filem ini.

Apa yang mengecewakan saya ialah Orang Perang tidak memberikan penekanan yang cukup kuat terhadap tujuan dan proses di sebalik penubuhan Senoi Praaq itu sendiri. Sedangkan bagi sebuah filem yang mengangkat pasukan tersebut sebagai salah satu fokus utamanya, saya menjangkakan aspek ini diberikan build-up yang lebih kuat.

Saya pernah menonton beberapa filem perang yang turut mengetengahkan penglibatan masyarakat pribumi dalam pasukan keselamatan, antaranya Kanang Anak Langkau dan, untuk filem luar, Windtalkers.

Kedua-dua filem tersebut memberikan ruang kepada penonton untuk memahami bagaimana watak-watak daripada komuniti tersebut menyesuaikan diri selepas direkrut, terlibat dalam konflik dan akhirnya memainkan peranan dalam pasukan masing-masing. Build-up seperti inilah yang saya rasakan agak kurang dalam Orang Perang.

Bagi saya, ruang penceritaan filem ini terlalu fokus pada paparan kekejaman dan kebencian terhadap pihak komunis, kisah di kem komunis itu sendiri dan dilema masyarakat Orang Asli dalam memilih pihak yang ingin disokong mereka.

Sedangkan sejak awal lagi, filem ini sudah memberikan gambaran yang cukup jelas bahawa komunis bukanlah pihak yang sepatutnya mereka sokong, malah kekejaman yang dilakukan sudah cukup menjadi dorongan kepada penubuhan pasukan elit yang kemudiannya membantu pasukan keselamatan mengesan dan menghapuskan mereka.

Sebab itulah saya nyatakan di atas bahawa build-up tentang penubuhan Senoi Praaq tidak begitu kuat dan apabila tiba masanya untuk membentuk pasukan Senoi Praaq, prosesnya dan penceritaanya pula terasa terlalu tergesa-gesa - bermula dari mereka bersetuju untuk menyertai pasukan keselamatan, sehinggalah mereka akhirnya selesai menjalani latihan.

Di sebalik penceritaan yang tidak begitu kuat dan dialog yang agak cringe, terdapat satu babak yang benar-benar menarik perhatian saya. Tidak keterlaluan untuk saya anggap inilah satu-satunya bahagian yang benar-benar terasa seperti “cerita” Orang Perang yang saya harapkan.

Babak yang saya maksudkan adalah ketika Senoi Praaq menjalankan misi pertama mereka sendiri dimana ia berjaya memberikan debaran kepada saya, dan telah membuatkan saya teruja melihat bagaimana mereka menggunakan kemahiran dalam hutan untuk menumpaskan musuh secara senyap.

Dari segi aksi, tidak banyak yang boleh diperkatakan kerana filem ini masih mengulangi formula yang sering digunakan dalam filem-filem perang tempatan sebelum era PASKAL. Tiada pergerakan taktikal yang benar-benar menarik dan aksinya juga terasa tidak “cukup perang”.

Ibarat menonton koboi Labu dan Labi, kebanyakan babak aksi sekadar memperlihatkan kedua-dua pihak berbalas tembakan sebelum diakhiri dengan pertarungan tanpa senjata, kemudian tamat begitu sahaja.

Secara keseluruhan, Orang Perang gagal memanfaatkan sepenuhnya potensi kisah sebuah pasukan keselamatan yang pernah menggerunkan musuh suatu ketika dahulu. Permulaan yang cukup menarik perlahan-lahan kehilangan momentum, sebelum penceritaannya terasa semakin tergesa-gesa apabila menuju ke penghujung.

Saya kurang berpuas hati kerana filem ini gagal memberikan gambaran yang lebih dramatik dan menarik tentang penubuhan pasukan tersebut. Sebaliknya, apa yang saya lihat adalah formula repetitif filem perang tempatan yang sudah lama ditinggalkan.

Rating: 2/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review The Whisper Man: Perlahan, Flat dan Kurang Mendebarkan

Karim Khan

Review Tikus!: Bermula Baik Tapi Gagal Memberikan Payoff

Karim Khan

Review Hope: Terlalu Draggy Walaupun Penuh Aksi

Karim Khan

Review The Intern: Han So-hee & Choi Min-sik Jadikan Versi Korea Hampir Flawless

Karim Khan

Review 402 Rumah Sakit Angker Korea: Tidak Sehebat Filem Asal, Tetapi Berjaya Memberi Pengalaman Seram

Ammar

Review The End of Oak Street: Filem Dinosaur Yang Menarik dan Segar

Karim Khan

Leave a Comment