
Filem biopik Michael Jackson, Michael, terus mencipta sejarah apabila berjaya melepasi kutipan AS$1 bilion (sekitar RM4.7 bilion) di seluruh dunia, sekali gus menjadi filem biografi pertama yang mencapai pencapaian tersebut.
Setakat ini, filem arahan Antoine Fuqua itu telah mengumpul kutipan sebanyak AS$629.8 juta di pasaran antarabangsa dan AS$371.8 juta di Amerika Utara, menjadikan jumlah keseluruhan kutipannya mencecah AS$1.001 bilion.
Sejak ditayangkan pada April lalu, Michael membuktikan dirinya sebagai antara fenomena terbesar tahun ini di pawagam.
Walaupun berdepan pelbagai kontroversi di sebalik tabir serta menerima ulasan bercampur daripada pengkritik, sambutan luar biasa penonton membantu filem itu terus mencatat kutipan memberangsangkan sepanjang musim panas.
Filem ini memulakan tayangannya dengan kutipan pembukaan AS$97 juta di Amerika Utara dan AS$217 juta di seluruh dunia. Pencapaian itu sekali gus memecahkan rekod kutipan hujung minggu pembukaan terbesar bagi filem biopik muzikal, mengatasi Straight Outta Compton yang meraih AS$60 juta pada tahun 2015.
Kejayaan Michael turut menyaksikannya memecahkan beberapa lagi rekod penting. Ia kini menjadi filem biopik muzikal dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman, mengatasi Bohemian Rhapsody yang mengutip AS$911 juta di seluruh dunia.
Selain itu, ia juga muncul sebagai filem berdasarkan kisah benar paling laris dalam sejarah dengan menewaskan Oppenheimer yang sebelum ini mengutip AS$975 juta.
Pencapaian tersebut turut memberi sejarah baharu kepada Lionsgate apabila Michael menjadi filem pertama terbitan studio itu yang berjaya menembusi kutipan AS$1 bilion. Sebelum ini, rekod studio itu dipegang oleh The Hunger Games: Catching Fire (AS$865 juta) dan The Twilight Saga: Breaking Dawn – Part 2 (AS$850 juta).
Lionsgate menerbitkan filem ini dan mengedarkannya di Amerika Utara, manakala Universal Pictures mengendalikan pengedaran di pasaran antarabangsa.
Pengerusi Lionsgate Motion Picture Group, Adam Fogelson, menyifatkan sambutan penonton terhadap Michael sebagai satu fenomena budaya yang luar biasa.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan pengaruh Michael Jackson sebagai antara artis rakaman terhebat sepanjang zaman, selain menunjukkan pengalaman menonton filem di pawagam masih kekal relevan dan mendapat sokongan penonton di seluruh dunia.
Setakat ini, hanya sebuah lagi filem berjaya melepasi kutipan AS$1 bilion pada tahun 2026 iaitu filem animasi The Super Mario Galaxy Movie yang mencatat kutipan AS$1.008 bilion. Sementara itu, Toy Story 5 kini telah mengumpul AS$879.1 juta dan dijangka menjadi filem ketiga tahun ini yang melepasi angka tersebut.
Michael mengisahkan perjalanan hidup Michael Jackson daripada zaman kegemilangannya bersama kumpulan Jackson 5 sehingga bergelar “King of Pop”.
Watak legenda muzik itu dilakonkan oleh anak saudaranya sendiri, Jaafar Jackson, dalam penampilan sulungnya sebagai pelakon. Filem ini turut dibintangi Colman Domingo sebagai Joe Jackson dan Nia Long sebagai Katherine Jackson.
Susulan kejayaan luar biasa ini, Lionsgate dilaporkan dijangka memberi lampu hijau kepada sekurang-kurangnya sebuah lagi filem yang mengisahkan kehidupan Michael Jackson.
Antoine Fuqua turut menyifatkan kejayaan melepasi kutipan AS$1 bilion sebagai satu detik yang cukup bermakna buat seluruh pasukan produksi.
Menurutnya, pencapaian bersejarah itu adalah hasil dedikasi semua yang terlibat dalam menghasilkan filem tersebut, selain membuktikan kuasa sinema untuk menyatukan penonton daripada pelbagai generasi dan budaya di seluruh dunia.
Sumber: Variety
