
Filem The Hunger Games: Sunrise on the Reaping mencatat permulaan memberangsangkan di box office Amerika Utara apabila meraih kutipan AS$21 juta menerusi tayangan pratonton pada Rabu dan Khamis lalu.
Filem keenam dalam francais The Hunger Games terbitan Lionsgate itu kini dijangka mencatat kutipan pembukaan hujung minggu melebihi AS$100 juta. Bagaimanapun, pihak studio meletakkan unjuran lebih konservatif sekitar AS$85 juta, manakala beberapa penganalisis industri menganggarkan kutipannya mampu mencecah AS$125 juta berdasarkan populariti francais tersebut serta kemunculan semula beberapa watak kegemaran peminat.
Sekiranya berjaya melepasi angka AS$100 juta, Sunrise on the Reaping akan menjadi filem kelima tahun ini yang mencapai kutipan pembukaan tersebut, menyertai Spider-Man: Brand New Day (AS$360 juta), Toy Story 5 (AS$159 juta), The Super Mario Galaxy Movie (AS$131 juta) dan The Odyssey (AS$123 juta).
Kutipan tayangan awal Sunrise on the Reaping juga jauh mengatasi pencapaian filem prekuel sebelumnya, The Hunger Games: The Ballad of Songbirds & Snakes (2023), yang hanya meraih AS$5.75 juta menerusi tayangan pratonton sebelum mencatat kutipan pembukaan AS$44 juta. Filem tersebut kemudiannya mengumpul AS$363 juta di seluruh dunia berbanding kos pembikinan AS$100 juta.
Dengan kos pembikinan sekitar AS$150 juta, prestasi Sunrise on the Reaping kini menjadi perhatian, khususnya untuk melihat sama ada filem ini mampu menghampiri pencapaian siri asal The Hunger Games yang dibintangi Jennifer Lawrence dan Josh Hutcherson.
Sebagai perbandingan, filem pertama The Hunger Games (2012) mencatat kutipan pembukaan AS$152 juta, manakala Catching Fire (2013) masih memegang rekod pembukaan tertinggi francais dengan AS$158 juta. Filem kedua itu turut menjadi naskhah paling laris dalam francais berkenaan selepas mengumpul AS$865 juta di seluruh dunia.
Dua filem berikutnya, Mockingjay - Part 1 dan Mockingjay - Part 2, masing-masing mencatat kutipan pembukaan AS$121 juta dan AS$102 juta.
Dari segi penceritaan, The Hunger Games: Sunrise on the Reaping membawa penonton kembali ke Panem untuk mengikuti kisah Haymitch Abernathy ketika muda, sebelum beliau dikenali sebagai mentor kepada Katniss Everdeen dan Peeta Mellark dalam siri asal.
Watak Haymitch yang sebelum ini dibawakan oleh Woody Harrelson kini dilakonkan oleh Joseph Zada. Filem ini memfokuskan penyertaannya dalam Hunger Games ke-50, yang dikenali sebagai Second Quarter Quell, apabila jumlah peserta digandakan kepada 48 orang untuk bertarung sehingga hanya seorang yang terselamat.
Selain Joseph Zada, filem ini turut dibintangi Mckenna Grace, Ralph Fiennes, Kieran Culkin, Glenn Close, Elle Fanning dan Jesse Plemons.
Dengan kutipan tayangan awal yang jauh lebih tinggi berbanding filem prekuel terdahulu, Sunrise on the Reaping berpotensi mencatat antara pembukaan terbesar francais The Hunger Games, bergantung pada prestasi kutipan sepanjang hujung minggu pertamanya.
The Hunger Games: Sunrise on the Reaping kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Sumber: Variety.
