Kakimuvee
Review Filem

Review The Odyssey: Christopher Nolan Masak Satu Lagi Karya Agung Dengan Mudah

The Odyssey

Tiga jam yang terasa begitu singkat. Itulah gambaran yang boleh saya berikan mengenai satu lagi karya agung daripada pengarah Christopher Nolan, The Odyssey, sebuah filem yang diadaptasikan daripada puisi epik Yunani Purba karya Homer yang turut berjudul The Odyssey.

Pada awalnya, saya merasakan bahawa menonton filem ini pada jam 12.00 tengah malam akan menjadi satu cabaran untuk saya tidak tertidur. Namun, sangkaan saya meleset apabila saya begitu terleka dengan kehebatan filem ini sehinggasaya langsung tidak menguap dari awal hingga tamat.

Kenapa saya kata filem ini hebat?

Terus terang saya katakan, saya memasuki panggung dengan satu misi iaitu kelemahan dalam filem terbaru Nolan ini. Lebih-lebih lagi apabila The Odyssey sebelum ini dibelenggu pelbagai kontroversi, terutamanya membabitkan pemilihan pelakon dan dialog-dialog yang dianggap tidak bersesuaian dengan latar belakang ceritanya.

Namun, sebaik sahaja filem ini menghampiri penghujung, barulah saya tersedar bahawa saya sebenarnya cuba mencari kelemahan filem ini, namun gagal. Saya cuba mengkritik soal pemilihan pelakonnya, tetapi langsung tidak menemui sebab yang kukuh untuk berbuat demikian.

Malah, saya seolah-olah dipukau sehingga melupakan segala kontroversi yang pernah menyelubungi filem ini.

Matt Damon The Odyssey

Kebiasaannya, Hollywood mengadaptasikan karya-karya mitologi Yunani dengan cara yang lebih ringkas dan tidak begitu kompleks. Setiap pengarah pula akan mengolah mitologi tersebut mengikut imaginasi serta kesesuaian jalan cerita yang ingin disampaikan.

Sebagai contoh, filem seperti Troy dan Clash of the Titans. Kedua-duanya mengambil inspirasi daripada mitologi Yunani, namun diolah agar lebih menarik dan bertepatan dengan acuan Hollywood yang mahu menyampaikan cerita yang lebih mudah dihayati serta menghiburkan penonton.

Pada awalnya saya beranggapan Nolan akan menggunakan formula klasik Hollywood dalam menterjemahkan mitologi Yunani dalam karya beliau kali ini. Namun, saya terlupa bahawa Nolan sememangnya tidak gemar menyampaikan cerita secara straightforward.

Saya teringat bagaimana dia menghasilkan filem biopik Oppenheimer yang sangat berbeza daripada kebanyakan filem biopik Hollywood lain. Saya juga masih ingat bagaimana dia mentafsir semula konsep time travel dalam Tenet dengan pendekatan yang jauh lebih kompleks dan mencabar minda.

Jika Nolan menterjemahkan mitologi Yunani secara lurus, maka kita akan melihat The Odyssey tidak jauh bezanya dengan filem-filem mitologi Yunani yang lain, iaitu sekadar mengikuti perjalanan Odysseus menentang dewa-dewi ketika berusaha pulang ke kampung halamannya. Namun, pengarah itu tidak memilih pendekatan tersebut.

Seperti mana yang dilakukannya dalam Oppenheimer dan Dunkirk, Nolan mengambil sebuah cerita yang pada asasnya mudah difahami, tetapi menyampaikan cerita tersebut melalui struktur penceritaan yang tidak linear.

Bagi pengarah tersebut, cerita yang ringkas tidak semestinya perlu dipersembahkan secara lurus. Sebaliknya, dia lebih gemar memecahkan kronologi dan membina naratif melalui pelbagai sudut pandang sebelum semua kepingan cerita itu disatukan semula pada penghujung filem.

Dalam The Odyssey, Nolan sekali lagi menggunakan struktur penceritaan yang tidak linear. Naratif filem ini dibina melalui gabungan perspektif beberapa watak utama, kisah silam serta peristiwa semasa, sebelum kesemuanya dirangkumkan dalam satu klimaks yang menyatukan setiap cebisan cerita.

Zendaya Matt Damon The Odyssey

Timeline dan penceritaan daripada pelbagai sudut pandang ini menjadikan kisah Odysseus bukan sahaja terasa lebih epik, malah setiap pendedahan baharu mengubah cara penonton memahami pengembaraannya, sekali gus meningkatkan ketegangan dan membangkitkan perasaan ingin tahu.

Dan… apabila semua lapisan cerita itu akhirnya bercantum, Nolan memberikan satu penamat yang cukup memuaskan hati, sesuatu yang jarang saya rasakan dalam filem-filemnya.

Seperti yang dilakukan Nolan dalam Oppenheimer, dimana filem tersebut dibarisi pelakon ensembel, dia sekali lagi memastikan setiap watak dalam The Odyssey mempunyai fungsi yang tersendiri.

Pada pandangan saya, pemilihan pelakon-pelakon ternama dan ‘kontroversi’ untuk menggalas watak-watak kecil ini bukanlah sekadar untuk menarik perhatian penonton, sebaliknya membuatkan setiap kemunculan mereka terasa signifikan.

Hasilnya, penonton akan sentiasa memberi perhatian setiap kali watak-watak ini muncul di layar. Dan apabila diteliti semula, setiap daripada mereka sebenarnya memainkan peranan penting dalam membina naratif serta membentuk perkembangan karakter Odysseus sepanjang pengembaraannya.

Sebagai sebuah filem yang berasaskan mitologi Yunani, sudah tentu kehadiran dewa-dewi tidak boleh dipisahkan daripada kisah Odysseus.

Namun, Nolan memilih untuk tidak menampilkan mereka secara fizikal. Sebaliknya, kewujudan dewa-dewa ini hanya dirasai melalui dialog dan kepercayaan watak-watak lain, menjadikan mereka seolah-olah satu kuasa yang sentiasa memerhati, menghakimi dan menentukan nasib Odysseus sepanjang pengembaraannya.

Saya juga gemar dengan cara Nolan membahagikan filem ini kepada beberapa segmen yang mempunyai identiti tersendiri, sekali gus menjadikan keseluruhan naratifnya terasa begitu epik.

Sebagai contoh, konflik yang dihadapi isterinya, Penelope, yang terperangkap antara cinta dan tekanan daripada para pelamar yang ingin merampas takhta Odysseus. Begitu juga ketika Odysseus dan pasukannya terperangkap dalam sarang Cyclops, yang benar-benar membuatkan bulu roma saya meremang dengan unsur seram yang diterapkan.

Nolan juga tidak melupakan Perang Trojan yang menjadi latar kepada keseluruhan pengembaraan Odysseus, sekali gus memberikan skala aksi yang lebih besar kepada cerita. Pada masa yang sama, dia turut menyelitkan elemen misteri dan fantasi ketika Odysseus mengembara ke neraka semata-mata untuk mendapatkan petunjuk jalan pulang.

Kepelbagaian elemen inilah yang membuatkan The Odyssey terasa lengkap. Setiap segmen mempunyai identitinya yang tersendiri, namun semuanya saling melengkapi sehingga filem ini tidak pernah terasa terikat pada satu suasana atau genre semata-mata.

Saya sengaja tidak mengulas tentang barisan pelakon yang membintangi filem ini, terutamanya beberapa pelakon yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi.

Sebabnya, mengulas tentang mereka secara lebih terperinci berpotensi mendedahkan spoiler kepada anda yang membaca ulasan ini. Dan sudah tentu anda tidak mahu membaca spoiler dalam ulasan filem bukan?

Namun, seperti yang saya gambarkan sebelum ini, setiap keputusan yang dibuat Nolan mempunyai tujuannya yang tersendiri. Ambil sahaja contoh penggunaan dialog yang dikatakan tidak terlalu bersastera dan kedengaran “terlalu Hollywood” atau moden, sedangkan The Odyssey merupakan adaptasi daripada karya sastera klasik Homer.

Pada pandangan saya, keputusan itu dibuat kerana struktur penceritaan filem ini sendiri sudah cukup kompleks. Jika Nolan turut menggunakan dialog yang terlalu puitis atau bersastera, saya percaya sebahagian besar penonton akan lebih sukar mengikuti naratif yang ingin disampaikannya.

Jadi, secara keseluruhannya, saya beranggapan The Odyssey layak menjadi satu lagi karya agung Christopher Nolan. Dia sudah membuktikan kehebatannya menerusi filem sains fiksyen, thriller, adaptasi sejarah dan biopik. Kali ini, dia sekali lagi menunjukkan bahawa dirinya tidak pernah terikat dengan mana-mana genre untuk menghasilkan sebuah filem yang hebat.

Filem ini membuktikan bahawa Nolan sentiasa mempunyai otak yang cukup geliga, idea yang luar biasa hebatnya dan tahap kreativiti yang sukar ditandingi oleh kebanyakan pembikin filem masa kini. Dan yang lebih menarik, Nolan tidak mengambil pusing terhadap segala kontroversi yang melanda filem ini.

Sebaliknya, dia membalas segala kritikan itu dengan sebuah karya yang cukup hebat sehingga kontroversi tersebut akhirnya tenggelam dengan sendirinya.

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Other Mommy: Sekadar Mengejutkan, Bukan Menakutkan

Karim Khan

Review Jangan Buang Ibu: Tidak Sempurna, Tetapi Berjaya Menyentuh Hati

Karim Khan

Review Siri Kudrat 1968: High Council – Berjaya Cetus Keterujaan Menjelang Finale

Karim Khan

Review Mutiny: Jason Statham Dan “Genre Statham” Yang Mengecewakan

Karim Khan

Review Filem Moana – Berbaloi Ditonton atau Lebih Baik Skip?

Karim Khan

Review The Intern: Han So-hee & Choi Min-sik Jadikan Versi Korea Hampir Flawless

Karim Khan

Leave a Comment