
Filem Avengers: Endgame mendahului box office Amerika Utara pada hujung minggu lalu. Versi terbaru, Avengers: Endgame Encore, telah mengutip AS$26 juta daripada 3,060 pawagam, mengatasi Resident Evil yang sedang memasuki minggu kedua serta tiga filem baharu.
Angka itu jarang dicapai oleh sebuah tayangan semula, lebih-lebih lagi apabila Endgame sudah lama boleh ditonton di rumah. Penganalisis box office David A. Gross berkata tayangan semula biasanya tidak melepasi AS$10 juta pada hujung minggu pembukaan.
Edisi Encore hadir dengan rakaman tambahan menjelang Avengers: Doomsday, menjadikan kepulangannya ke pawagam sebahagian daripada promosi awal filem Marvel itu.
Resident Evil kekal di tempat kedua dengan kutipan AS$23 juta. Kutipan mingguannya jatuh 60% selepas mencatatkan kutipan minggu pembukaan sebanyak AS$60 juta.
Walaubagaimanapun, jumlah terkumpul filem arahan Zach Cregger itu sudah mencecah AS$103.4 juta di Amerika Utara dan AS$196.5 juta di seluruh dunia. Ia juga telah mengatasi kutipan domestik setiap filem terdahulu dalam francais Resident Evil.
Persaingan paling rapat berlaku antara dua filem baharu: Heart of the Beast yang meraih AS$20 juta, manakala Primetime menyusul dengan kutipan AS$19.2 juta. Perbezaan AS$800,000 itu meletakkan filem survival Brad Pitt di tempat ketiga dan drama jenayah Robert Pattinson di tempat keempat.
Bagi Heart of the Beast, sambutan di luar Amerika Utara lebih besar. Filem arahan David Ayer itu meraih AS$30.1 juta daripada 63 pasaran, membawa jumlah pembukaan globalnya kepada AS$50.1 juta. Brad Pitt memainkan bekas anggota pasukan khas yang perlu meredah hutan Alaska bersama anjing K-9 miliknya selepas terselamat daripada nahas pesawat.
Ulasan pengkritik dan respons penonton setakat ini baik, namun dengan kos produksi sekitar AS$82 juta, filem tersebut masih memerlukan kutipan yang konsisten pada minggu-minggu berikutnya.
Pembukaan Primetime pula cukup besar mengikut ukuran A24. Kutipan AS$19.2 juta menjadikannya pembukaan ketiga terbaik studio itu, di belakang Backrooms dan Civil War, sementara kos produksinya sekitar AS$15 juta. Sebanyak 69% penonton hujung minggu pertamanya berusia bawah 30 tahun.
Robert Pattinson membawakan watak Chris Hansen dalam filem arahan Lance Oppenheim itu. Filem tersebut berkisarkan rancangan realiti televisyen yang dihoskan Hansen ketika dia berdepan dengan pemangsa seksual kanak-kanak. Primetime bakal menyusul ke pawagam tempatan pada 8 Oktober ini.
Filem animasi Forgotten Island berada di tempat kelima dengan AS$12.8 juta. Jumlah kutipan global filem tersebut setakat ini ialah AS$20.6 juta, jauh lebih rendah daripada kos produksi AS$80 juta.
Forgotten Island mencatat 94% di Rotten Tomatoes dan gred A daripada penonton CinemaScore. Cabarannya sekarang ialah sama ada sambutan tersebut dapat membantu filem ini bertahan lebih lama di pawagam.
Sumber: Variety
