
Francais aksi popular Bourne dilaporkan bakal menerima nafas baharu apabila Universal Pictures dikatakan sedang membangunkan sebuah reboot, dengan nama Zendaya muncul sebagai calon utama untuk menerajui siri tersebut.
Menurut laporan World of Reel yang memetik wartawan industri Jeff Sneider, pelakon itu dikatakan telah mengadakan perbincangan dengan pihak studio bagi mengambil alih watak utama yang sebelum ini sinonim dengan Matt Damon.
Jika laporan tersebut menjadi kenyataan, ia bakal menyaksikan perubahan besar dalam francais berkenaan apabila watak ejen perisik utama akan diterajui oleh seorang wanita buat pertama kali.
Sumber yang dipetik turut mendakwa beberapa individu dalam industri telah mendengar perkara yang sama, sekali gus menguatkan lagi spekulasi mengenai penglibatan Zendaya dalam projek tersebut.
Universal sebelum ini dilaporkan memperoleh semula hak francais Bourne pada Mac 2025 dengan hasrat untuk menghidupkan semula siri berkenaan menerusi sebuah reboot. Draf terkini skrip dikatakan ditulis oleh Joe Barton, manakala Edward Berger sebelum ini dikaitkan sebagai pengarah.
Matt Damon, yang kini berusia 55 tahun, telah membintangi lima filem dalam francais tersebut, termasuk trilogi asal yang terdiri daripada The Bourne Identity, The Bourne Supremacy dan The Bourne Ultimatum.
Kali terakhir watak Jason Bourne muncul di layar perak adalah menerusi Jason Bourne pada tahun 2016. Walaupun menerima reaksi sederhana daripada pengkritik, filem tersebut masih berjaya meraih lebih AS$400 juta di seluruh dunia.
Secara keseluruhannya, francais Bourne telah mengumpul kutipan lebih AS$1.64 bilion di box office global, menjadikannya antara siri filem aksi dan perisikan paling berjaya sepanjang zaman.
Buat masa ini, Universal masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai penglibatan Zendaya, namun berita tersebut sudah mula menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat filem di seluruh dunia.
Sumber: World Of Reel
