
Disney+ bakal memperkenalkan sebuah rancangan permainan misteri pembunuhan baharu berjudul Murder Club: Liar’s Table yang akan mula distrim pada 29 Julai.
Menggabungkan elemen misteri, strategi dan teknologi kecerdasan buatan (AI), Murder Club: Liar’s Table membawa sekumpulan selebriti menyertai permainan imersif untuk menyelesaikan kes pembunuhan.
Peserta akan berdepan permainan penuh penipuan dan rahsia tersembunyi, merentasi pelbagai latar seperti era Dinasti Joseon, padang besbol moden dan penjara. Setiap kes pembunuhan dihidupkan menerusi urutan video yang dijana menggunakan teknologi AI.
Dengan pembunuh sebenar bersembunyi dalam kalangan peserta, mereka perlu menggunakan petunjuk dan bukti yang terhad untuk mengenal pasti pelaku. Dalam masa sama, individu yang bersalah akan melakukan apa sahaja bagi mengelakkan identitinya terbongkar sehingga permainan berakhir.
Diterbitkan oleh KJH Studio dan Skaper AI, rancangan ini menampilkan barisan personaliti terkenal daripada pelbagai bidang, termasuk YouTuber pengembaraan Pani Bottle, pemain e-sukan profesional Faker, pelawak veteran Choi Yangrak, pelawak Eom Jiyoon, pelakon Shin Sungrok, pencipta kandungan Kim Seontae, Max Changmin (TVXQ!), pemain besbol profesional Kim Hyunsoo, Beomgyu (TOMORROW X TOGETHER) serta chef Culinary Class Wars, Park Juseong.
Murder Club: Liar’s Table merupakan antara siri variasi terbaharu yang bakal ditayangkan di Disney+, menyertai pelbagai kandungan Korea lain yang tersedia di platform penstriman tersebut.
Rancangan ini akan mula distrim secara eksklusif di Disney+ bermula 29 Julai.

