
Pengarah terkenal Christopher Nolan menyelar pengkritik amatur ketika filem terbaharunya, The Odyssey, terus menghampiri kutipan AS$1 bilion di box office global dengan menerima sambutan hangat daripada penonton dan pengkritik profesional.
Bercakap dalam sebuah podcast bersama hos Zhong Shu di Beijing (via Coming Soon), pemenang dua Anugerah Oscar itu berkata ramai pengkritik amatur beranggapan bahawa apabila mereka berjaya mengenal pasti sesuatu teknik atau mekanisme penceritaan dalam sesebuah filem, ia secara automatik menjadikan elemen tersebut tidak lagi berkesan.
Menurut Nolan, perkara itu merupakan “masalah sebenar dalam kritikan hari ini.”
“Kritikan yang sering dilemparkan terhadap filem ialah watak perlu dibuat lebih mudah disukai, jadi watak itu dimanipulasi atau diubah dengan pelbagai cara.”
“Pada saya, itu merupakan kelemahan asas dalam kritikan filem atau kritikan terhadap penceritaan. Hanya kerana anda dapat mengenal pasti mekanisme tersebut, tidak bermakna mekanisme itu tidak lagi berkesan,” katanya.
Nolan menjelaskan bahawa ramai penonton hari ini cenderung menolak impak sesebuah filem hanya kerana mereka dapat melihat bagaimana struktur penceritaannya dibina.
Beliau menolak tanggapan bahawa memahami bagaimana sesebuah cerita memberi kesan kepada emosi penonton bermaksud cerita itu telah gagal.
“Ramai beranggapan, ‘Oleh sebab saya faham mengapa cerita ini memberi kesan kepada saya, maka ia tidak berjaya.’ Itu bukan cara penceritaan berfungsi,” jelasnya.
Tambah Nolan, pembikin filem sebenarnya membina karya mereka berdasarkan bahasa sinematik yang telah berkembang selama lebih satu abad dalam industri Hollywood dan kini difahami oleh penonton di seluruh dunia.
Beliau menyifatkan bahasa tersebut sebagai satu bentuk penceritaan moden yang sangat mudah diakses serta mempunyai peraturan dan konvensyennya sendiri. Walaupun pengarah boleh mengubah atau melanggar peraturan itu, mereka tetap perlu memahaminya terlebih dahulu.
Nolan sekali lagi menegaskan bahawa kritikan beliau lebih ditujukan kepada pengkritik amatur yang merasakan mereka telah “membongkar” sesebuah filem hanya kerana berjaya mengenal pasti teknik yang digunakan.
Pada masa sama, beliau mengakui trope atau formula penceritaan perlu terus berkembang apabila penonton semakin biasa dengannya. Namun, menurutnya, pembikin filem masih bergantung kepada kefahaman bersama yang telah dibentuk melalui sejarah panjang dunia perfileman.
The Odyssey merupakan adaptasi epik klasik karya Homer yang mengisahkan pengembaraan Odysseus, lakonan Matt Damon, yang mengambil masa sedekad untuk pulang ke tanah air selepas Perang Trojan.
Filem itu kini memasuki minggu ketiga tayangan dan terus mendominasi kutipan box office di seluruh dunia.
Sumber: ComingSoon
