Kakimuvee
Berita

The Matrix 5 Sah Dalam Pembangunan, Dijangka Ditayangkan Selepas 2027

Keanu Reeves dalam The Matrix

Selepas sekian lama menjadi tanda tanya, Warner Bros. Discovery akhirnya mengesahkan bahawa filem kelima francais The Matrix kini sedang dibangunkan secara aktif.

Perkembangan itu diumumkan menerusi kenyataan rasmi syarikat berkenaan, sekali gus mengukuhkan komitmen mereka untuk meneruskan salah satu francais fiksyen sains paling ikonik dalam sejarah perfileman. Walaupun begitu, butiran mengenai jalan cerita, barisan pelakon dan tarikh tayangan masih belum didedahkan.

Projek baharu ini pertama kali diumumkan pada 2024 dengan Drew Goddard dipilih sebagai penulis skrip. Sehingga kini, Warner Bros. masih merahsiakan kebanyakan maklumat mengenai filem tersebut. Namun, pengumuman terbaharu ini mengesahkan bahawa The Matrix 5 dijangka hanya akan menemui penonton selepas tahun 2027.

Buat masa ini, masih belum diketahui sama ada Keanu Reeves akan kembali mengulangi wataknya sebagai Neo. Pelakon itu sebelum ini membintangi keempat-empat filem dalam francais tersebut iaitu The Matrix (1999), The Matrix Reloaded (2003), The Matrix Revolutions (2003) dan The Matrix Resurrections (2021).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Reeves terus sibuk dengan pelbagai projek besar termasuk meneruskan francais John Wick menerusi John Wick: Chapter 4 dan penampilan dalam Ballerina. Selain itu, beliau turut meminjamkan suara kepada Shadow dalam francais Sonic the Hedgehog, yang bakal kembali dalam Sonic the Hedgehog 4 pada Mac 2027.

Pada tahun ini, Reeves turut membintangi filem Outcome terbitan Apple TV+ arahan Jonah Hill, selain kembali sebagai suara Duke Caboom dalam Toy Story 5, yang berjaya meraih kutipan lebih AS$1 bilion di seluruh dunia.

Warner Bros Turut Umum Beberapa Projek Besar

Selain The Matrix 5, Warner Bros. Discovery turut mengumumkan beberapa projek berprofil tinggi yang sedang dibangunkan.

Antaranya ialah filem aksi nyata The Jetsons yang akan dibintangi Jim Carrey, sebuah filem Game of Thrones yang memfokuskan kepada penaklukan Aegon Targaryen, serta sekuel The Batman arahan Matt Reeves yang kini sedang menjalani penggambaran menjelang tayangan pada Februari 2028.

Studio itu turut mengesahkan beberapa filem yang dijadualkan menemui penonton pada 2027 termasuk F.A.S.T. arahan Taylor Sheridan, prekuel Ocean’s lakonan Margot Robbie dan Bradley Cooper, serta The Lord of the Rings: The Hunt for Gollum.

Sumber: Collider

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Project Hail Mary Dinobatkan Filem Terbaik di Astra Midseason Awards 2026

Karim Khan

Filem Sci-Fi Epik ‘HOPE’ Arahan Na Hong-jin Ke Pawagam Malaysia 10 September Ini

Farah

Samara Weaving Dilapor Sertai Reboot X-Men Sebagai Emma Frost

Karim Khan

Beth Greene Kembali Dalam Universe The Walking Dead

Karim Khan

Masters of the Universe Kuasai Carta Nielsen, Buka Harapan Untuk Sekuel?

Karim Khan

Extraction 3 Rasmi Mulakan Penggambaran, Chris Hemsworth Kembali Sebagai Tyler Rake

Karim Khan

Leave a Comment