Kakimuvee
Berita

Christopher Nolan Enggan Ikut Trend Hollywood, Tiada Tayangan Khas ‘The Odyssey’ Untuk Influencer

Pengarah terkenal Christopher Nolan dilaporkan tidak akan mengadakan tayangan khas untuk pempengaruh media sosial bagi filem terbaharunya, The Odyssey, sebaliknya memilih untuk menayangkan filem tersebut terus kepada pengkritik filem.

Menurut laporan The Hollywood Reporter, keputusan itu menandakan pendekatan tradisional Nolan yang lebih mengutamakan pengalaman menonton di pawagam berbanding strategi pemasaran moden yang sering melibatkan reaksi awal daripada pempengaruh.

Kebiasaannya, pempengaruh media sosial akan dijemput ke tayangan awal atau tayangan perdana untuk berkongsi reaksi ringkas di platform sosial sebelum ulasan rasmi pengkritik diterbitkan. Namun, trend tersebut semakin dipersoalkan oleh penonton kerana terdapat beberapa filem yang menerima pujian melampau daripada pempengaruh tetapi gagal memikat pengkritik dan penonton umum.

The Odyssey merupakan filem susulan Nolan selepas kejayaan besar Oppenheimer dan menjadi antara filem paling dinantikan tahun ini. Filem epik tersebut dibintangi Matt Damon sebagai Odysseus, watak utama dalam puisi klasik karya Homer yang mengisahkan perjalanan pulang seorang pahlawan selepas perang.

Turut membintangi filem itu ialah Robert Pattinson, Anne Hathaway, Tom Holland dan Lupita Nyong’o. Rakaman pertama filem tersebut yang diperlihatkan sebelum ini turut menerima sambutan positif daripada peminat.

Pendekatan Nolan itu juga selari dengan pendiriannya yang selama ini mempertahankan pengalaman menonton di pawagam. Pengarah pemenang Oscar itu terkenal kerana mengutamakan tayangan eksklusif di pawagam serta penggunaan format filem tradisional berbanding projektor digital.

Sementara itu, Lupita Nyong’o baru-baru ini memberi respons terhadap kritikan berbaur perkauman susulan pemilihannya sebagai Helen of Troy. Menurutnya, beliau menyokong sepenuhnya visi Nolan terhadap penceritaan tersebut dan tidak mahu melayan kritikan yang diterima.

Dalam perkembangan lain, filem itu turut memperkenalkan bekas popcorn rasmi yang diinspirasikan daripada Kuda Trojan, simbol ikonik dalam kisah epik berkenaan.

Artikel Berkaitan:  5 Filem 2026 Yang Sudah Mengutip Lebih AS$1 Bilion Di Seluruh Dunia

The Odyssey dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula 17 Julai.

Sumber: The Hollywood Reporter

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Anne Hathaway Sertai Tom Cruise Dalam Days Of Thunder 2

Karim Khan

Punca Kematian Hayden Panettiere Didedahkan, Disahkan Sebagai Kemalangan

Karim Khan

Robert Pattinson Jalani Uji Bakat Untuk Watak James Bond Baharu

Karim Khan

Michael Bay Dalam Rundingan Untuk Kembali Arah Transformers, Steven Spielberg Terajui Kreatif

Karim Khan

Zach Cregger Berkata Resident Evil Karya Paling Ganas Pernah Dihasilkannya

Karim Khan

Taika Waititi Berang Dengan Pengkritik Selepas Klara and the Sun Terima Ulasan Negatif

Karim Khan

Leave a Comment