
Walaupun Avengers: Doomsday dan Avengers: Secret Wars masih belum ditayangkan, Marvel Studios dilaporkan sudah mula merancang masa depan francais Avengers.
Menurut industry scooper Alex Perez menerusi sesi soal jawab bersama Cosmic Circus, Joe dan Anthony Russo dikatakan sedang membangunkan sebuah lagi filem Avengers selain dua filem yang telah diumumkan itu.
Perez mendakwa terdapat dua kemungkinan yang sedang dipertimbangkan. Pertama, Avengers: Secret Wars mungkin dipecahkan kepada dua bahagian bagi memberi ruang kepada penceritaan yang lebih besar. Pilihan kedua pula ialah menghasilkan sebuah filem Avengers yang baharu selepas berakhirnya Secret Wars.
Sekiranya laporan ini tepat, ia menunjukkan Marvel mempunyai perancangan yang lebih besar untuk masa depan MCU berbanding jangkaan peminat.
Marvel Dilapor Mahu Rombak Francais Avengers
Dalam pendedahan sama, Perez turut mendakwa bahawa Avengers: Doomsday dan Secret Wars bukanlah penamat kepada francais Avengers.
Sebaliknya, Marvel Studios dikatakan sedang merancang untuk merombak jenama Avengers selepas tamatnya Multiverse Saga. Studio itu dipercayai mahu menerbitkan filem Avengers dengan lebih konsisten, tanpa bergantung sepenuhnya kepada filem crossover berskala besar yang memerlukan tempoh pembangunan bertahun-tahun.
Jika perancangan ini menjadi kenyataan, Marvel berpotensi menghasilkan gabungan filem crossover epik yang menjadi kemuncak sesuatu saga, di samping filem Avengers berskala lebih kecil yang memfokuskan kepada pasukan adiwira itu sendiri.

Dua Jalan Cerita Sedang Dipertimbangkan
Perez turut mendakwa Marvel kini sedang merancang kisah baharu bertemakan konflik kosmik.
Antara idea yang pernah dibincangkan ialah adaptasi jalan cerita Judgement Day, yang menghimpunkan watak seperti Eternals, Celestials dan Horde dalam sebuah filem crossover berskala besar.
Bagaimanapun, hala tuju yang lebih terkini dikatakan memfokuskan kepada kemunculan Annihilus bersama Annihilation Wavesebagai ancaman utama. Watak itu dipercayai akan diperkenalkan terlebih dahulu menerusi sebuah siri Disney+ yang memfokuskan Nova Corps sebelum memainkan peranan lebih besar dalam filem Avengers akan datang.
Russo Brothers Kongsi Perkembangan Terkini Tentang Produksi Avengers: Secret Wars
Dalam perkembangan lain, Russo Brothers akhirnya berkongsi sedikit perkembangan mengenai Avengers: Doomsday dan Secret Wars.
Menurut Joe Russo, pasukannya masih lagi giat menyiapkan Doomsday dan dijangka hanya akan menyerahkan filem itu kepada pasukan pasca-produksi sekitar November. Pada masa sama, mereka juga telah memulakan proses pra-produksi untuk projek seterusnya.
Anthony Russo pula menjelaskan bahawa Doomsday dan Secret Wars dibangunkan sebagai satu jalan cerita yang lengkap. Walaupun tidak menolak kemungkinan untuk kembali bekerjasama dengan Marvel Studios pada masa hadapan, beliau menegaskan bahawa buat masa ini tiada sebarang perancangan rasmi selepas Secret Wars.
Kenyataan tersebut menunjukkan fokus utama Russo Brothers ketika ini adalah memastikan Multiverse Saga berakhir dengan sempurna sebelum sebarang projek Avengers baharu dipertimbangkan.
Buat masa ini, semua maklumat mengenai filem Avengers baharu masih berstatus khabar angin kerana Marvel Studios belum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi.
Avengers: Doomsday dijadualkan menemui penonton pada 18 Disember 2026, manakala Avengers: Secret Wars akan ditayangkan pada 17 Disember 2027.
Sumber: FandomWire
