
Hujung minggu ini bakal dikuasai Spider-Man: Brand New Day, namun sebuah lagi filem baharu turut mencuri perhatian di pawagam Amerika Utara, iaitu The End Of Oak Street terbitan Warner Bros. dan Bad Robot.
Menurut laporan Deadline, filem arahan David Robert Mitchell itu diunjurkan meraih lebih AS$2 juta menerusi tayangan pratonton malam Khamis. Tayangan bermula seawal jam 1 petang di sekitar 3,200 lokasi di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, angka tersebut masih merupakan anggaran awal dan boleh berubah selepas kutipan penuh hujung minggu direkodkan.
Dijangka Raih Sehingga AS$23 Juta
The End Of Oak Street dilihat mempunyai potensi untuk menarik penonton keluarga, dengan wanita menjadi antara kumpulan penonton yang paling menunjukkan minat terhadap filem ini, termasuk golongan ibu dan peminat Anne Hathaway.
Selain Hathaway, filem ini turut dibintangi Ewan McGregor.
Sebagai perbandingan, filem PG-13 seperti Rampage mencatat AS$2.4 juta dalam tayangan pratonton pada 2018, manakala Blue Beetle meraih AS$3.3 juta ketika tayangan pratonton sebelum membuka tirai dengan kutipan AS$25 juta pada Ogos 2023.
Untuk pasaran domestik, The End Of Oak Street dijangka mencatat kutipan sekitar AS$18 juta hingga AS$23 juta pada hujung minggu pembukaan. Bagi pasaran antarabangsa pula, filem ini diunjurkan meraih antara AS$20 juta hingga AS$25 juta daripada 74 wilayah.
Filem ini akan ditayangkan di sekitar 24,000 skrin di beberapa pasaran utama termasuk Perancis, Jerman, Australia, Brazil, Mexico, Sepanyol, United Kingdom, China dan Jepun.
Kisah Kejiranan Bertukar Jadi Hutan Prasejarah
The End Of Oak Street diarahkan, ditulis dan diterbitkan oleh David Robert Mitchell, yang sebelum ini dikenali menerusi filem seram It Follows.
Filem ini mengisahkan sebuah kejiranan yang tiba-tiba mendapati kawasan bersebelahan rumah mereka berubah menjadi hutan prasejarah yang dihuni dinosaur.
Apa yang pada awalnya mungkin kelihatan seperti fenomena luar biasa bertukar menjadi ancaman apabila dinosaur tersebut mula mengganggu kehidupan penduduk setempat — malah menjadi jauh lebih bermasalah berbanding anjing jiran.
Filem ini turut mendapat sokongan tayangan format premium, dengan The End Of Oak Street berkongsi skrin IMAX bersama The Odyssey dan format PLF bersama Spider-Man: Brand New Day.
Kos penerbitannya dilaporkan berada dalam lingkungan AS$80 juta hingga AS$92 juta, dengan sebahagian besar bajet digunakan untuk menghasilkan kesan visual dinosaur.
Dari sudut penerimaan kritikal, filem ini kini mencatat skor 85% dan menerima status Certified Fresh di Rotten Tomatoes.
Selain The End Of Oak Street, dua lagi filem baharu turut dibuka secara meluas di Amerika Utara pada hujung minggu ini, iaitu PAW Patrol: The Dino Movie terbitan Paramount dan Spin Master, serta The Brink Of War daripada Angel Studios.
Dalam masa yang sama, Spider-Man: Brand New Day dijangka terus mendominasi carta box office dengan anggaran kutipan AS$57 juta hingga AS$72 juta pada minggu ketiganya di Amerika Utara.
*Baca ulasan The End of Oak Street disini.
