
Philomena Cunk kembali dengan satu lagi siri Mockumentary yang menjadikan dunia perfileman sebagai bahan jenaka.
Diane Morgan bakal menghidupkan semula watak ikonik tersebut menerusi Cunk on Cinema, siri tiga bahagian yang akan meneroka sejarah serta perkembangan dunia filem menggunakan pendekatan satira dan humor selamba yang menjadi identiti Cunk.
Kali ini, Cunk bukan sekadar bercakap tentang filem secara umum. Dia akan menemui beberapa nama terkenal dalam industri perfileman untuk membincangkan pelbagai perkara, daripada asal-usul kamera hinggalah pergerakan French New Wave serta kemungkinan perubahan industri disebabkan penggunaan AI dan CGI.
Michael Bay Dan Benedict Cumberbatch Antara Tetamu
Antara nama besar yang akan muncul dalam Cunk on Cinema ialah pengarah Transformers, Michael Bay, serta Benedict Cumberbatch yang terkenal menerusi watak Doctor Strange dalam MCU.
Turut menyertai siri ini ialah komposer Daniel Pemberton, penulis skrip Die Hard, Steven E. de Souza, sinematografer Seamus McGarvey, pengkritik filem Mark Kermode dan bekas presiden Academy, David Rubin.
Kehadiran barisan tetamu daripada pelbagai bidang ini membolehkan siri tersebut melihat dunia perfileman daripada sudut yang berbeza, termasuk pengarahan, penulisan skrip, muzik, sinematografi dan kritikan filem.
Diane Morgan Kembali Sebagai Philomena Cunk
Cunk on Cinema menandakan kemunculan semula Diane Morgan sebagai Philomena Cunk selepas siri khas Cunk on Life pada 2024.
Dalam Cunk on Life, watak tersebut menyelami persoalan besar mengenai kehidupan, termasuk asal-usul alam semesta dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan, dengan gaya penyampaian serius tetapi soalan-soalan yang sengaja mengarut.
Sebelum itu, Morgan membintangi Cunk on Earth pada 2022, siri lima bahagian yang membawa Cunk menyelusuri sejarah manusia dan pelbagai penciptaan penting sepanjang kewujudan tamadun manusia.
Morgan turut menerima pencalonan Primetime Emmy bagi kategori Outstanding Writing for a Variety Special menerusi Cunk on Life.
Cunk on Cinema terdiri daripada tiga episod dan akan ditayangkan di Netflix Amerika Syarikat.
Al Campbell, yang turut mengarahkan Cunk on Life, kembali sebagai pengarah, manakala Morgan dan Charlie Brooker mengetuai pasukan penulis bersama Ben Caudell, Erika Ehler, Eli Goldstone, Jason Hazeley, Dan Maier, Joel Morris, Michael Odewale, Kali Varghese dan Sam Ward.
