
Tahukah anda bahawa kabin ikonik yang digunakan dalam penggambaran filem seram klasik The Evil Dead (1981) benar-benar wujud?
Lebih menyeramkan, lokasi tersebut dikatakan mempunyai sejarah yang penuh misteri sehingga sering menjadi bualan peminat filem seram.
Menurut pengarahnya, Sam Raimi, kabin itu telah dibina sejak sekian lama oleh seorang lelaki yang kemudiannya meninggal dunia.
Selepas kematiannya, kabin tersebut dibiarkan kosong dan terbiar selama bertahun-tahun sebelum didiami oleh sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu, anak perempuannya dan nenek mereka.
Namun, tidak lama selepas berpindah masuk, kejadian aneh mula berlaku. Pada suatu malam, si ibu dan nenek dilaporkan meninggal dunia secara serentak, meninggalkan anak perempuan itu bersendirian di dalam kabin tersebut.
Kisah inilah yang sering dikaitkan dengan aura menyeramkan lokasi penggambaran filem berkenaan.

Kabin sebenar yang digunakan dalam The Evil Dead terletak di Morristown, Tennessee, Amerika Syarikat, berhampiran kawasan Pergunungan Appalachian yang sememangnya terkenal dengan pelbagai kisah misteri dan legenda sejak berabad lamanya.
Penduduk tempatan percaya hutan di kawasan itu menyimpan pelbagai fenomena yang sukar dijelaskan.
Antara kepercayaan paling terkenal ialah seseorang tidak sepatutnya menyahut atau membalas suara yang didengari pada waktu malam kerana dikhuatiri ia bukan berasal daripada manusia.

Salah satu legenda yang sering dikaitkan dengan Pergunungan Appalachian ialah kisah makhluk atau roh jahat yang mempunyai persamaan dengan Wendigo.
Berdasarkan cakap-cakap dikalangan masyarakat Cherokee, roh tersebut dikatakan mampu hidup jauh lebih lama daripada manusia dan memperoleh kekuatannya dengan menyerap tenaga hidup mangsa.
Menurut legenda itu, roh berkenaan sering memburu individu yang sedang sakit. Ia dikatakan akan memasuki rumah mangsa sebelum mencuri tenaga kehidupan mereka sehingga membawa maut.
Turut dikaitkan dengan kisah tersebut ialah sebuah buku ilmu hitam yang dikenali sebagai Grimoire of Demonology and Magic.

Manuskrip yang dipercayai ditulis sekitar tahun 1775 oleh penulis tidak dikenali itu menghimpunkan pelbagai ritual pemujaan, amalan ilmu hitam dan simbol-simbol mistik yang ditulis dalam bahasa Latin.
Buku itu juga dikatakan mengandungi ritual untuk membangkitkan orang mati. Apa yang paling mencuri perhatian ialah amaran yang tertera pada kulit hadapannya, berbunyi: “Do Not Touch” (Jangan Sentuh).
Walaupun kisah-kisah ini sering dikongsi dalam komuniti peminat filem seram, sebahagian besar daripadanya kekal sebagai legenda dan cerita rakyat yang tidak dapat disahkan secara sejarah.
Namun begitu, gabungan sejarah kabin, misteri Pergunungan Appalachian dan mitos mengenai roh jahat terus menjadikan The Evil Dead antara filem seram yang mempunyai kisah di sebalik tabir paling menyeramkan hingga ke hari ini.
