Kakimuvee
Review Filem

Review The Beast: Gred B Actioner Yang Menghiburkan

Filem The Beast lakonan Samuel L. Jackson

Siapa sangka, pada usia 77 tahun, Samuel L. Jackson masih mampu membintangi filem aksi menerusi The Beast.

Dalam filem ini, Jackson membawakan watak Presiden Amerika Syarikat yang berdepan dengan cubaan rampasan kuasa. Beliau turut digandingkan dengan bintang Suicide Squad, Joel Kinnaman, yang memainkan peranan sebagai ejen Secret Service.

Walaupun The Beast merupakan sebuah filem aksi, ia tidak terlalu menumpukan pada pertarungan fizikal ataupun melibatkan aksi berbalas tembakan seperti kebanyakan filem dalam genre yang sama. Sebaliknya, filem ini lebih tertumpu pada situasi di dalam kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat, yang dikenali sebagai The Beast, apabila watak Jackson terpaksa memandu sendiri untuk melarikan diri daripada serangan kumpulan yang cuba melakukan rampasan kuasa.

Saya boleh menggambarkan The Beast sebagai sebuah filem aksi gred B yang menghiburkan. Dari segi penceritaan dan persembahannya, filem ini terasa seperti sebuah produksi berbajet rendah, walaupun dibintangi dua pelakon gred A seperti Samuel L. Jackson dan Joel Kinnaman.

Namun, itu tidak bermakna kualiti produksinya mengecewakan. The Beast menampilkan kesan visual yang kemas, terutama dalam menghasilkan suasana di dalam kenderaan Presiden Amerika Syarikat, selain babak aksi yang melibatkan letupan dan tembak-menembak.

Tidak dinafikan, babak kejar-mengejar dan serangan terhadap kenderaan yang dinaiki watak Jackson sememangnya mendebarkan. Cuma, apabila sebahagian besar penceritaan hanya tertumpu di dalam kereta dan melibatkan dua watak utama, ada beberapa adegan yang terasa agak membosankan.

Sebagai contoh, interaksi antara watak Jackson dengan pegawai yang cuba membantunya mencari laluan keluar dari kawasan konflik melalui radio terasa agak draggy kerana perbualan mereka sering mengulangi perkara yang sama. Presiden berkeras mahu bertindak mengikut kehendaknya sendiri, manakala pegawai tersebut pula berulang kali memintanya supaya mengikut arahan yang diberikan.

Malah, interaksi antara Jackson dan Kinnaman juga dilihat agak berat sebelah, dengan kebanyakan dialog dituturkan oleh watak Jackson manakala interaksi watak lakonan Kinnaman boleh dikatakan 'jarang-jarang' meskipun berada dalam satu kenderaan yang sama.

Dari segi jalan cerita pula, The Beast mempunyai latar belakang konflik yang menarik kerana ia melibatkan cubaan rampasan kuasa di beberapa negara besar. Bayangkan konsep London Has Fallen, tetapi dengan skala ancaman yang lebih luas dan berlaku di beberapa negara secara serentak.

Malangnya, filem ini tidak memperlihatkan secara langsung bagaimana rampasan kuasa tersebut berlaku di negara-negara berkenaan. Sebaliknya, penonton hanya mengetahui perkembangan konflik itu melalui perbualan radio antara watak Jackson dengan pegawai yang cuba membantunya keluar dari kawasan berbahaya.

Samuel L. Jackson pula seperti biasa tampil dengan gaya lakonannya yang cukup ikonik. Karismanya menjadi antara faktor utama yang menjadikan The Beast sebuah filem popcorn yang menghiburkan. Cuma, ada satu perkara yang sedikit melucukan. Bagi yang mengharapkan Jackson menghamburkan kata-kata kesat seperti kebiasaannya, mungkin akan sedikit kecewa kerana kali ini dia tidak banyak mencarut.

Malangnya, The Beast menampilkan babak klimaks yang agak tidak masuk akal dan terasa tergesa-gesa. Penonton sememangnya disajikan dengan aksi pertarungan yang cukup gritty, sekali gus memperlihatkan sisi sebenar Presiden Amerika Syarikat dalam filem ini. Namun, apabila tiba masanya untuk berdepan dengan antagonis utama, pertarungan tersebut ditamatkan terlalu cepat tanpa memberikan payoff yang memuaskan.

Secara keseluruhannya, jika anda mahukan sebuah filem aksi yang straightforward dan menghiburkan, The Beast boleh dimasukkan dalam senarai tontonan anda. Lebih-lebih lagi jika anda peminat Samuel L. Jackson, kerana persembahannya menjadi antara sebab utama filem ini masih menyeronokkan untuk ditonton, meskipun mempunyai beberapa kelemahan dari segi penceritaan.

RATING: 3/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Resident Evil: Horror Zach Cregger Tak Menjadi?

Karim Khan

Review The Intern: Han So-hee & Choi Min-sik Jadikan Versi Korea Hampir Flawless

Karim Khan

Review Tikus!: Bermula Baik Tapi Gagal Memberikan Payoff

Karim Khan

Review Bisikan Nafsu: Drama Ala Makjang Yang Absurd Tetapi Menghiburkan

Karim Khan

Review The Last House: Survival Thriller Yang Tidak Cukup Rangup & Terlebih Tepung.

Karim Khan

Review Filem Moana – Berbaloi Ditonton atau Lebih Baik Skip?

Karim Khan

Leave a Comment