
Francais Insidious mempunyai enam filem setakat ini, tetapi susunan ceritanya tidak mengikut turutan tayangan. Dua filem prekuel, Insidious: Chapter 3 dan Insidious: The Last Key, berlaku sebelum kisah keluarga Lambert yang menjadi fokus filem pertama.
Lebih menarik, beberapa filem turut mempunyai babak imbas kembali yang berlaku jauh lebih awal daripada cerita utama. Jadi, kalau anda mahu mengikuti keseluruhan kisah Insidious berdasarkan kronologi kejadian, susunannya sedikit berbeza daripada urutan filem tersebut ditayangkan.
Berikut ialah urutan kronologi yang paling sesuai untuk menonton keenam-enam filem Insidious:
1. Insidious: Chapter 3 (2007)

Walaupun merupakan filem ketiga, Insidious: Chapter 3 menjadi titik permulaan kepada kronologi utama francais ini. Ceritanya berlaku pada 2007, beberapa tahun sebelum keluarga Lambert berdepan dengan The Further.
Filem ini memberi tumpuan kepada Elise Rainier yang pada ketika itu masih cuba menjauhkan diri daripada dunia paranormal selepas satu pengalaman traumatik. Namun, dia akhirnya diminta membantu Quinn Brenner, seorang remaja yang cuba menghubungi roh ibunya.
Percubaan tersebut membawa kepada gangguan daripada entiti yang dikenali sebagai ‘The Man Who Can’t Breathe.’ Elise kemudian terpaksa berdepan semula dengan The Further, sebelum dibantu oleh Specs dan Tucker yang kemudiannya menjadi rakan pentingnya dalam menyiasat kes-kes paranormal.
Disebabkan kisahnya berlaku sebelum keluarga Lambert diperkenalkan, Chapter 3 menjadi filem pertama yang perlu ditonton jika anda mahu mengikuti kronologi utama Insidious.
2. Insidious: The Last Key (2010)

Selepas peristiwa Chapter 3, cerita bergerak ke tahun 2010 menerusi Insidious: The Last Key. Bagaimanapun, filem ini turut mempunyai beberapa babak imbas kembali, termasuk zaman kanak-kanak Elise pada 1953.
Cerita utamanya mengikuti Elise apabila dia kembali ke rumah tempat dia membesar selepas menerima permintaan daripada seorang lelaki yang mendakwa rumahnya berhantu. Kepulangannya memaksa Elise berdepan dengan trauma masa lalu dan entiti jahat yang mempunyai kaitan dengan zaman kanak-kanaknya.
Filem ini penting dalam kronologi kerana ia memperlihatkan dengan lebih jelas latar belakang Elise dan bagaimana hubungannya dengan The Further terbentuk. Menjelang penghujung cerita, Elise, Specs dan Tucker menerima panggilan daripada Lorraine Lambert untuk membantu anaknya, Dalton.
Panggilan tersebut menjadi jambatan terus kepada peristiwa dalam filem Insidious.
3. Insidious (2010)

Selepas The Last Key, kita akhirnya sampai kepada filem yang memulakan francais ini. Insidious berlaku pada 2010 dan memperkenalkan keluarga Lambert iaitu Josh, Renai dan anak-anak mereka.
Selepas berpindah ke rumah baharu, keluarga tersebut mula mengalami pelbagai kejadian aneh. Keadaan menjadi lebih serius apabila Dalton tiba-tiba jatuh koma tanpa penjelasan yang jelas.
Apa yang pada mulanya kelihatan seperti masalah kesihatan akhirnya membawa kepada penemuan bahawa Dalton sebenarnya mempunyai kebolehan untuk melakukan perjalanan astral dan telah terperangkap di The Further.
Elise Rainier kemudian membantu keluarga Lambert memahami apa yang sedang berlaku. Mereka perlu mencari jalan untuk membawa Dalton kembali sebelum entiti dari The Further mengambil kesempatan terhadap tubuhnya.
Filem ini menjadi asas kepada mitologi utama francais, termasuk konsep The Further dan kebolehan sesetengah manusia untuk memasuki dimensi tersebut.
4. Insidious: Chapter 2 (2010)

Insidious: Chapter 2 menyambung cerita hampir serta-merta selepas kejadian filem pertama. Jadi, walaupun filem ini ditayangkan pada 2013, kisah utamanya masih berlaku pada 2010.
Selepas Dalton berjaya dibawa kembali dari The Further, keluarga Lambert menyangka semuanya sudah berakhir. Namun, kejadian aneh kembali berlaku dan kali ini perhatian mula beralih kepada Josh.
Siasatan yang dilakukan mendedahkan bahawa hubungan Josh dengan The Further sebenarnya sudah bermula sejak zaman kanak-kanaknya. Filem ini turut menggunakan beberapa babak imbas kembali ke tahun 1986 untuk menceritakan pengalaman Josh ketika masih kecil dan bagaimana Elise membantunya.
Peristiwa dalam Chapter 2 akhirnya melengkapkan bahagian penting kisah keluarga Lambert dan menjadi asas kepada apa yang berlaku bertahun-tahun kemudian dalam The Red Door.
5. Insidious: The Red Door (2019)

Selepas Chapter 2, cerita melompat kira-kira sembilan tahun ke hadapan. Insidious: The Red Door membawa kita kembali kepada Josh dan Dalton Lambert, yang kini cuba meneruskan kehidupan selepas pengalaman traumatik mereka dengan The Further.
Dalton sudah meningkat dewasa dan mula memasuki alam kolej. Namun, kenangan yang selama ini cuba dilupakan mula kembali apabila dia menghasilkan sebuah lukisan yang mempunyai kaitan dengan The Further.
Pada masa yang sama, Josh mula menyiasat sejarah keluarganya sendiri dan mendapati bahawa kebolehan untuk memasuki The Further bukan sesuatu yang bermula dengannya.
Filem ini pada asasnya menjadi kesinambungan dan penutup kepada kisah keluarga Lambert. Josh dan Dalton perlu berdepan semula dengan trauma lama sebelum cuba memutuskan hubungan mereka dengan The Further.
Walaupun The Red Door ditayangkan pada 2023, kejadian utamanya berlaku beberapa tahun selepas Chapter 2, sekitar 2019.
6. Insidious: Out of the Further (2019)

Filem keenam, Insidious: Out of the Further, berlaku beberapa minggu selepas kejadian The Red Door dan melanjutkan garis masa francais kepada keluarga baharu.
Kali ini, cerita berpusat kepada Gemma, seorang ibu yang mendapati dirinya mempunyai kebolehan luar biasa untuk memasuki The Further. Namun, kebolehan tersebut hadir bersama satu masalah besar – Gemma bukan sahaja boleh memasuki alam ghaib tersebut, malah entiti dari The Further boleh memberi kesan secara langsung kepada dunia manusia.
Gemma kemudian menjadi sasaran entiti jahat yang mahu menggunakan kebolehannya untuk menyeberangi sempadan antara The Further dan dunia nyata. Dalam perjalanannya, dia turut mendapat bantuan daripada Elise Rainier.
Menurut panduan kronologi terkini, kejadian Out of the Further berlaku pada 2019, selepas peristiwa The Red Door. Ini bermakna kedua-dua filem tersebut berlaku pada tahun yang sama walaupun The Red Door ditayangkan pada 2023 dan filem keenam pula pada 2026.
Jadi, kalau anda baru nak kenal dunia Insidious, ikut sahaja urutan tayangan asal. Tetapi kalau anda sudah lama mengikuti francais ini dan mahu menonton semula keenam-enam filem tanpa melompat-lompat timeline, susunan kronologi di atas boleh dijadikan panduan.
Menariknya, Insidious: Out of the Further bukan sekadar menyambung cerita lama, tetapi turut membawa kita kepada keluarga dan konflik baharu dalam dunia The Further. Jadi, nampaknya perjalanan ke alam ghaib ini masih belum berakhir.
Insidious: Out of the Further kini sedang ditayangkan di pawagam. Anda boleh membaca ulasan disini
Sumber: Decider, Sony Pictures
