
Satu lagi filem baharu The Lord of the Rings nampaknya berdepan halangan apabila The Shadow of the Past dilaporkan telah ditangguhkan buat sementara waktu oleh Skydance.
Menurut laporan Knight Edge Media, studio berkenaan telah menekan butang "pause" terhadap pembangunan filem tersebut. Projek itu sebelum ini dirancang untuk memulakan penggambaran tidak lama selepas produksi The Lord of the Rings: The Hunt for Gollum selesai.
Bagaimanapun, sebab sebenar di sebalik keputusan tersebut masih belum diketahui.
The Shadow of the Past diumumkan awal tahun ini dengan Stephen Colbert dan anaknya terlibat menulis skrip bersama Philippa Boyens, yang sudah lama terlibat dengan francais The Lord of the Rings.
Kisah filem tersebut berlaku 14 tahun selepas kematian Frodo dan kembali memberi tumpuan kepada Sam, Merry dan Pippin. Mereka memulakan perjalanan untuk menjejaki semula langkah awal pengembaraan yang pernah dilalui bersama.
Pada masa sama, anak perempuan Sam, Elanor, menemui satu rahsia lama yang mendorongnya menyiasat bagaimana War of the Ring hampir tewas sebelum peperangan itu benar-benar bermula.
Idea untuk filem tersebut berasal daripada beberapa bab awal novel The Fellowship of the Ring karya J.R.R. Tolkien yang tidak dimasukkan ke dalam filem arahan Peter Jackson pada 2001.
Colbert sebelum ini menjelaskan bahawa dia tertarik dengan enam bab, bermula daripada "Three is Company" hingga "Fog on the Barrow-Downs". Daripada situ, tercetus idea untuk menghasilkan sebuah cerita yang masih setia kepada novel Tolkien, tetapi pada masa sama sesuai dengan dunia filem yang telah dibangunkan oleh Jackson.
Walaupun sebab penangguhan belum disahkan, terdapat kemungkinan studio mahu melihat terlebih dahulu prestasi The Hunt for Gollum sebelum meneruskan sebuah lagi filem The Lord of the Rings.
Pendekatan itu dilihat munasabah memandangkan francais tersebut menerima sambutan bercampur menerusi beberapa projek terbaharu. Siri The Rings of Power menerima reaksi berbeza daripada penonton, manakala filem animasi The Lord of the Rings: The War of the Rohirrim berdepan prestasi kurang memberangsangkan di box office.
Laporan asal turut membangkitkan kemungkinan bahawa penglibatan Colbert mungkin menjadi salah satu faktor susulan perubahan di bawah Skydance. Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan bahawa perkara tersebut mempunyai kaitan dengan keputusan menangguhkan filem berkenaan.
Buat masa ini, perhatian studio dijangka tertumpu kepada The Lord of the Rings: The Hunt for Gollum. Prestasi filem tersebut apabila ditayangkan pada Disember tahun depan mungkin memainkan peranan dalam menentukan masa depan The Shadow of the Past.
Sumber: Knight Edge Media / SFFGazette
